Pembangkang gesa Perak umum segera inisiatif tangani krisis global

Razman (tengah) bercakap kepada pemberita di Bilik Sidang Media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.
Razman (tengah) bercakap kepada pemberita di Bilik Sidang Media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.
A
A
A

IPOH – Pembangkang menggesa kerajaan Perak supaya segera mengumumkan inisiatif tambahan bagi menangani kesan krisis ekonomi global yang menekan kos sara hidup rakyat ketika ini.

Ketua Pembangkang, Razman Zakaria berkata, sehingga kini kerajaan negeri masih belum memperincikan sebarang inisiatif menyeluruh walaupun situasi kenaikan harga barangan semakin membebankan rakyat.

Menurutnya, tindakan itu berbeza dengan negeri lain yang telah lebih awal mengumumkan peruntukan khusus bagi membantu rakyat menghadapi tekanan ekonomi semasa.

"Kerajaan Selangor contohnya telah memperuntukkan RM130 juta untuk menangani krisis ini, tetapi Perak masih belum ada sebarang pengumuman jelas.

"Kita cadangkan supaya kerajaan negeri memberi tumpuan kepada harga makanan asas seperti beras agar semua rakyat boleh menikmati harga yang lebih rendah," katanya kepada pemberita di Bilik Sidang Media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.

Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol berkata, pendekatan seperti Jualan Rahmah sahaja tidak mencukupi kerana pelaksanaannya bersifat terhad dan tidak menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat.

Menurutnya, keadaan semasa berbeza dengan situasi pandemik Covid-19 kerana ekonomi kini telah kembali beroperasi namun pendapatan rakyat masih tidak mampu menampung kos kehidupan yang meningkat.

Sementara itu, ADUN Alor Pongsu, Noor Azman Ghazali mencadangkan supaya kerajaan negeri mempertimbangkan pelaksanaan subsidi bersasar yang lebih efektif, khususnya melibatkan golongan benar-benar layak.

Beliau turut menggesa kerajaan negeri memanfaatkan kedudukan kewangan Perak yang mencatat lebihan pendapatan selama beberapa tahun berturut-turut untuk membantu rakyat.

Artikel Berkaitan:

Noor Azman (tengah) bercakap kepada pemberita di Bilik Sidang Media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.
Noor Azman (tengah) bercakap kepada pemberita di Bilik Sidang Media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.

"Bila kita sebut tentang subsidi, kalau kerajaan pusat tidak bertindak, apa salah kiranya kerajaan negeri menunjuk contoh yang baik?

"Jadi saya sebagai pembangkang mencadangkan supaya kita buat bersasar betul-betul. Bantuan minyak dan sebagainya hanya bersasar kepada orang yang betul-betul layak mendapatkan.

"Kalau betul ada RM85 juta surplus, saya rasa kerajaan negeri kena buat sidang khas macam mana kita nak belanjakan RM85 juta itu untuk tolong rakyat Perak yang terkesan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!