KLFA tidak terburu-buru potong gaji

Pemain Kuala Lumpur tidak berdepan pemotongan gaji. FOTO: FACEBOOK KLFA
Pemain Kuala Lumpur tidak berdepan pemotongan gaji. FOTO: FACEBOOK KLFA
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) tidak akan mengambil keputusan terburu-buru dalam isu pemotongan gaji pemain dan pegawai pasukan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19.

Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah kewangan ketika ini dan beranggapan masih terlalu awal untuk berbincang mengenai isu pemotongan gaji.

“Masih awal untuk kita mengambil keputusan tersebut kerana PKP baru memasuki fasa kedua iaitu tambahan 14 hari selepas fasa pertama yang juga 14 hari.

“Isu tersebut mungkin akan dibincangkan sekiranya PKP berlanjutan selepas 14 April ini, namun ia perlu mempunyai kata sepakat daripada majikan dan pekerja (pemain),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nokman turut memberitahu, KLFA telah menyelesaikan bayaran gaji bulan Mac, sekali gus menunjukkan badan induk itu komited dan tidak mahu mengganggu fokus pemain.

"KLFA tidak mengalami sebarang masalah kewangan sehingga kini kerana pihak penaja komited membantu pasukan dan berharap ia berterusan sehingga berakhirnya musim 2020," jelasnya.

Liga Malaysia (Liga-M) ditangguhkan sejak 16 Mac lalu akibat wabak Covid-19 yang melanda negara. Situasi itu menyaksikan kebanyakan pasukan mengalami masalah kewangan terutama untuk melunaskan gaji pemain ketika tempoh penangguhan liga.

Malah, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia dalam satu kenyataan baru-baru ini juga mengharapkan setiap pasukan dapat berbincang dengan pemain bagi menyelesaikan masalah gaji dan kontrak.

Artikel Berkaitan: