Kempen Reben Merah jadi peringatan tegak keadilan buat tahanan Palestin

SHAH ALAM - Seruan Kempen Reben Merah untuk menjadikan reben merah sebagai simbol solidariti global dilihat sebagai peringatan jelas terhadap keperluan mendesak untuk menegakkan keadilan, memulihkan maruah serta memastikan kebebasan bagi semua individu yang ditahan secara tidak sah.
Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) menegaskan, inisiatif tersebut membawa mesej penting kepada masyarakat antarabangsa agar tidak berdiam diri terhadap isu penahanan tanpa proses undang-undang yang adil.
"CENTHRA berdiri teguh dengan solidariti terhadap tahanan Palestin yang berdepan undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, termasuk penyeksaan, penafian rawatan perubatan, serta penahanan pentadbiran berpanjangan tanpa pertuduhan atau perbicaraan.
“Berdasarkan data terkini, lebih daripada 9,600 rakyat Palestin, termasuk wanita dan kira-kira 350 kanak-kanak, masih ditahan, sebahagiannya melalui proses perundangan yang tidak memenuhi piawaian antarabangsa berkaitan proses wajar dan perbicaraan yang adil," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Justeru, CENTHRA menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi terhadap Kempen Reben Merah sempena Hari Tahanan Palestin.
"CENTHRA bersetuju dengan pendirian Kempen Reben Merah bahawa amalan-amalan tersebut, khususnya penggunaan sistematik penahanan pentadbiran dan tribunal ketenteraan, merupakan pelanggaran serius undang-undang antarabangsa," ujarnya.
Menurutnya, penahanan berterusan dalam keadaan sedemikian melibatkan pelanggaran norma undang-undang antarabangsa yang jelas, termasuk larangan penahanan sewenang-wenangnya di bawah Perkara 9 Kovenan Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR).
"Selain itu, hak kepada perbicaraan yang adil dan terbuka di bawah Perkara 14 ICCPR, serta larangan mutlak terhadap penyeksaan dan layanan atau hukuman yang kejam, tidak berperikemanusiaan atau menjatuhkan maruah di bawah Konvensyen Menentang Penyeksaan dan Perkara 7 ICCPR.
“Amalan tersebut juga perlu dinilai dalam kerangka Konvensyen Geneva Keempat berkenaan Perlindungan Orang Awam semasa Perang, khususnya Perkara 27, 31, 32 dan 78 yang menetapkan obligasi ketat ke atas kuasa pendudukan dalam layanan terhadap orang yang dilindungi,” jelasnya.
CENTHRA menyatakan bahawa pengabaian berterusan terhadap obligasi berkenaan menuntut tindakan undang-undang antarabangsa yang berkesan, termasuk siasatan bebas dan tidak berpihak.
“Selain itu juga ia menuntut akauntabiliti melalui mekanisme kehakiman antarabangsa seperti Mahkamah Keadilan Antarabangsa dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa dan pematuhan segera terhadap obligasi undang-undang antarabangsa yang berkaitan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
