Tiket ETS cepat habis, KTMB tambah kapasiti perkhidmatan

KUALA LUMPUR - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengakui cabaran dihadapi penumpang dalam mendapatkan tiket perkhidmatan tren elektrik (ETS), khususnya pada hujung minggu, cuti persekolahan, cuti umum dan musim perayaan.
KTMB dalam satu kenyataan memaklumkan, situasi tiket ETS yang cepat habis mencerminkan tahap permintaan serta kepercayaan tinggi rakyat terhadap perkhidmatan itu, sekali gus menjadikan ETS sebagai pilihan utama perjalanan antara bandar.
Menurut kenyataan itu, keadaan berkenaan berpunca daripada peningkatan ketara permintaan terhadap perkhidmatan ETS yang pada masa sama mempunyai had kapasiti tertentu berdasarkan set tren dan operasi sedia ada.
“Penambahan kapasiti tren memerlukan perancangan teliti melibatkan aspek operasi, keselamatan serta ketersediaan aset, selain mengambil kira kerja menaik taraf infrastruktur Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) yang sedang dilaksanakan,” ujar KTMB dalam kenyataan pada Khamis.
Sehubungan itu, KTMB mengambil pelbagai langkah proaktif termasuk membuka jualan tiket lebih awal sehingga enam bulan, mengoptimumkan jadual perjalanan serta menambah set tren baharu secara berperingkat bagi meningkatkan kapasiti perkhidmatan.
Bagi menampung permintaan tinggi terutama pada hujung minggu dan musim puncak, KTMB turut menyediakan tren tambahan setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad dengan purata lapan perjalanan tambahan sehari bagi laluan utara dan selatan, selain 44 perjalanan harian sedia ada.
Dalam masa sama, KTMB memperkenalkan perkhidmatan EMU Plus menggunakan set enam gerabak komuter bagi laluan KL Sentral–Ipoh–KL Sentral sebagai langkah segera meningkatkan kapasiti tempat duduk serta memperluas pilihan perjalanan kepada penumpang.
KTMB turut menawarkan promosi diskaun 30 peratus bagi semua sektor perkhidmatan ETS untuk pembelian tiket bermula 15 hingga 30 April 2026, bagi tempoh perjalanan dari 15 April hingga Oktober 2026 dengan penggunaan kod promosi MADANI30.
Penumpang juga digalakkan merancang perjalanan dan mendapatkan tiket lebih awal, selaras dengan amalan dalam sektor pengangkutan awam lain seperti penerbangan bagi memastikan ketersediaan tempat dan kelancaran perjalanan.
Menurut KTMB, pembelian awal turut membolehkan penumpang menikmati kadar tambang lebih optimum di bawah struktur harga fleksibel (flexi pricing), sekali gus mengelakkan kenaikan harga apabila menghampiri tarikh perjalanan atau ketika permintaan tinggi.
KTMB menegaskan komitmennya untuk terus menambah baik tahap perkhidmatan serta mempertimbangkan penambahbaikan lanjut dari semasa ke semasa selaras dengan keperluan penumpang.
"Orang ramai disarankan merujuk saluran rasmi KTMB bagi mendapatkan maklumat terkini dan merancang perjalanan dengan lebih teratur," tambah kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

