Pengharaman dua buku berdasarkan kepentingan keselamatan awam - KDN

SHAH ALAM – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan perintah larangan terhadap dua penerbitan berkaitan ideologi komunisme dibuat berdasarkan penilaian semasa dan kepentingan keselamatan awam, bukan semata-mata bergantung kepada tarikh penerbitan sesuatu bahan.
Katanya, tindakan penguatkuasaan terhadap buku 'Memoir Shamsiah Fakeh: Dari Awas ke Rejimen Ke-10' dan 'Komrad ASI (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah' dibuat selepas penelitian terhadap kandungan serta implikasinya.
"KDN ingin menjelaskan bahawa tindakan penguatkuasaan tidak tertakluk kepada tempoh sesuatu penerbitan diterbitkan, sebaliknya dilaksanakan berdasarkan penilaian semasa terhadap kandungan serta implikasinya kepada keselamatan dan ketenteraman awam.
"Dalam hal ini, setiap tindakan diambil secara sah, teliti dan berasaskan peruntukan undang-undang serta kepakaran yang berkaitan. Penilaian kandungan dibuat berlandaskan Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301], khususnya terhadap elemen yang boleh memudaratkan keselamatan awam,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Terdahulu, syarikat penerbitan, Gerakbudaya dilapor akan mencabar tindakan pengharaman dua buah buku terbitan mereka menerusi saluran perundangan sewajarnya.
Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) pula berkata, larangan itu menimbulkan kebimbangan serius tentang kebebasan intelektual dan ruang untuk wacana sejarah di Malaysia.
Katanya, karya-karya itu yang telah lama diedarkan berfungsi sebagai refleksi penting masa lalu yang membolehkan masyarakat terlibat, mempersoalkan dan memahami sejarah dari pelbagai perspektif.
Mengulas lanjut KDN berkata, hasil pemantauan berterusan dan maklumat risikan mendapati terdapat bahan penerbitan mengandungi unsur serta ideologi komunisme yang mula beredar secara lebih terbuka di pasaran.

Menurutnya, jika sebelum ini penyebaran bahan seumpama itu bersifat terhad dan tertutup, perkembangan terkini menunjukkan kecenderungan untuk menormalisasi serta mengagung-agungkan fahaman berkenaan yang bertentangan dengan kepentingan keselamatan negara.
KDN turut menolak dakwaan bahawa tindakan penguatkuasaan tersebut bertujuan menyekat kebebasan intelektual atau wacana ilmiah.
"Sebaliknya, tindakan ini adalah langkah pencegahan yang perlu bagi melindungi masyarakat daripada penyebaran fahaman yang boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam.
"KDN tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan untuk menyebar, mempromosi atau menghidupkan semula ideologi yang bertentangan dengan undang-undang," ujarnya.
KDN menambah, siasatan sedang dijalankan terhadap kedua-dua penerbitan tersebut serta melibatkan pihak penerbit seperti Strategic Information and Research Development Centre (SIRD) bagi memastikan pematuhan kepada keperluan perundangan.
Jelasnya, siasatan berkenaan turut membabitkan semakan status pendaftaran dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).
Sehubungan itu, KDN menyeru semua pihak agar tidak membesarkan isu tersebut atau mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan sehingga mencetuskan polemik awam.
Katanya, semakan berkaitan status larangan penerbitan boleh dibuat melalui saluran rasmi Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN.
"KDN kekal komited dalam melaksanakan pemantauan berterusan terhadap sebarang elemen yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam, demi memastikan kedaulatan undang-undang serta kesejahteraan negara sentiasa terpelihara," katanya lagi.
ENDS
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

