Wanita pandu Mercedes 'cabut' tanpa bayar minyak

HATYAI – Seorang wanita yang memandu kereta jenis Mercedes-Benz berwarna putih dipercayai melarikan diri tanpa membuat bayaran selepas mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Selatan Thailand pada 6 April lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.42 petang itu, wanita berusia lingkungan 30 hingga 35 tahun berkenaan didakwa terus memandu keluar dari premis ketika urusan pembayaran masih belum disahkan.
Pekerja stesen minyak, Theerapong, 23, berkata, wanita itu pada awalnya meminta untuk mengisi petrol bernilai 2,000 baht (RM247) sebelum mengurangkannya kepada 1,000 baht (RM124).
Menurutnya, wanita terbabit cuba membuat pembayaran menggunakan aplikasi perbankan mudah alih, namun transaksi dipercayai gagal akibat masalah sambungan internet.
"Ketika saya sedang menyemak status pembayaran, dia terus memandu keluar meninggalkan stesen minyak.
"Semakan kemudian mendapati bayaran berjumlah 1,000 baht itu tidak diterima walaupun transaksi pelanggan lain berjalan seperti biasa," katanya dipetik menerusi laporan ASEAN Now.
Theerapong yang memperoleh gaji harian 350 baht (RM43) terpaksa menanggung kerugian berkenaan dan perlu bekerja selama tiga hari bagi menampung jumlah tersebut akibat kejadian itu.
Dia berharap wanita terbabit tampil untuk menjelaskan bayaran, jika tidak laporan polis akan dibuat.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut merakam detik kenderaan itu melarikan diri ketika pekerja sedang membuat semakan pembayaran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

