Empat bom ikan ditemui di kebun sawit

TANAH MERAH - Empat bom ikan ditemui ditinggalkan di pangkal pokok sawit berdekatan kawasan Pos Nurut, Bukit Bunga berhampiran sempadan Malaysia-Thailand di sini pada Jumaat.
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, pihaknya menerima maklumat awal daripada orang awam berhubung penemuan pada jam 2.30 petang.
“Sepasukan anggota keselamatan digerakkan ke lokasi untuk membuat pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan menemukan empat objek mencurigakan disyaki bom ikan ditinggalkan di pangkal pokok sawit kira-kira 300 meter dari Pos Nurut dan hanya 15 meter dari kawasan sempadan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurut beliau, susulan penemuan itu, Cawangan Persenjataan Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah dihantar ke lokasi untuk pengesahan awal sebelum Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (UPB IPK) dipanggil bagi tindakan lanjut.
“Pemeriksaan terperinci oleh UPB IPK Kelantan mendapati kesemua objek berkenaan merupakan bahan letupan buatan sendiri yang dipercayai digunakan untuk aktiviti mengebom ikan.
“Kesemua bahan letupan tersebut dimusnahkan dengan selamat di lokasi kejadian,” katanya.
Beliau berkata, kawasan penemuan dikawal rapi oleh anggota keselamatan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini sepanjang operasi dijalankan.
Tambahnya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab meletakkan bahan letupan tersebut serta motif kejadian.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menghampiri atau menyentuh sebarang objek mencurigakan dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan risiko keselamatan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

