BDR: Nikmat fleksibiliti atau ujian diri?

Dalam dunia yang semakin tak menentu ini, BDR boleh jadi nikmat kalau diurus dengan baik, tapi boleh jadi beban kalau disiplin diabaikan. Foto hiasan
Dalam dunia yang semakin tak menentu ini, BDR boleh jadi nikmat kalau diurus dengan baik, tapi boleh jadi beban kalau disiplin diabaikan. Foto hiasan
A
A
A

PENGUMUMAN kerajaan untuk melaksanakan dasar bekerja dari rumah (BDR) bermula 15 April ini pastinya memberi kelegaan kepada ramai pihak. Rumah kini jadi ‘pejabat’ sementara, tiada lagi pagi yang tergesa-gesa atau terperangkap dalam kesesakan jalan raya.

Namun, BDR kali ini datang bukan sekadar untuk keselesaan kita semata-mata. Ia dibuat dalam keadaan mencabar bila mana harga minyak naik, ketidaktentuan global susulan konflik di Asia Barat, dan ekonomi negara sedang ditekan.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, BDR bertujuan untuk mengurangkan penggunaan bahan api dan memastikan tenaga negara lebih mampan. Jadi, ini bukan sekadar pilihan gaya hidup, tetapi sebahagian daripada strategi ekonomi yang lebih besar.

Jurucakap kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan pelaksanaan BDR kini berada di peringkat akhir dan akan diperluaskan ke beberapa kawasan terpilih, bukan hanya di Putrajaya.

Maknanya, kerja fleksibel mungkin bakal jadi norma baharu, bukan sekadar sementara. Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim turut melihat langkah ini sebagai pendekatan proaktif.

Selain mengurangkan kesesakan lalu lintas, rakyat juga dapat jimat kos perjalanan dan kerajaan pun kurang terbeban dengan subsidi bahan api.

Tapi, sejauh mana BDR ini benar-benar berkesan?

Kalau kita imbas semula semasa pandemik Covid-19, BDR adalah satu keperluan. Rakyat Malaysia cepat menyesuaikan diri apabila rumah jadi pejabat, teknologi jadi penghubung utama. Ramai yang melihatnya sebagai satu kelegaan.

Hari ini, realitinya lebih kompleks. BDR datang dalam konteks tekanan ekonomi dan pengurusan kehidupan harian.

Artikel Berkaitan:

Bagi ramai pekerja, terutamanya wanita, ia memberi fleksibiliti yang amat diperlukan. Masa dengan keluarga lebih terjaga, urusan rumah lebih tersusun, dan perjalanan yang meletihkan dapat dielakkan.

Namun, cabaran lain muncul secara senyap. Bekerja dari rumah boleh mengaburkan sempadan antara kerja dan kehidupan peribadi.

Laptop atas katil, waktu makan tak teratur, tugasan yang nampak tiada penghujung, boleh buat kita penat mental tanpa sedar.

Bagi kaum ibu, kehadiran anak-anak kadangkala jadi ‘gangguan’ yang menguji fokus, walaupun sebenarnya mereka sumber semangat.

Walaupun badan di rumah, minda tetap bekerja tanpa henti. Di sinilah disiplin jadi penting. BDR bukan sekadar tukar lokasi, ia menuntut pengurusan diri yang lebih baik.

Pada saya, jika tiada rutin jelas, dari bangun pagi hingga tamat kerja, fleksibiliti boleh bertukar jadi tekanan berpanjangan bagi segelintir individu.

Dari sudut majikan pula, BDR boleh jimat kos operasi dan akses kepada tenaga kerja lebih fleksibel.

Namun, bagaimana pula dengan isu kepercayaan? Bohonglah andai kata tiada majikan yang masih memikirkan soal pekerja akan culas, sedangkan motivasi dan sikap kerja seseorang bukan ditentukan oleh lokasi, kan?

Yang penting, BDR kali ini beri peluang kepada rakyat Malaysia tunjuk tahap profesionalisme mereka.

Bukan sekadar bekerja dari rumah, tetapi soal amanah, disiplin dan kepercayaan antara pekerja dan majikan.

Dalam dunia yang semakin tak menentu ini, BDR boleh jadi nikmat kalau diurus dengan baik, tapi boleh jadi beban kalau disiplin diabaikan. Fleksibiliti bukan bermakna bebas tanpa had, tetapi bijak urus diri sendiri.

Produktiviti penting, tapi jangan abaikan diri sendiri. Bila kesihatan mula terganggu, semuanya terasa mahal. Kena tahu, kerja boleh diganti, jawatan boleh diisi orang lain, tapi kita hanya ada satu diri.

Jadi, sebelum terlambat, jaga diri. Sebab pada akhirnya, kita lah aset paling berharga dalam hidup kita sendiri.

*Zaiton Abdul Manaf ialah Editor Sinar Plus

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!