Konflik Asia Barat: Malaysia akan hantar memorandum kepada PBB bawa pulang MALBATT

SEREMBAN – Malaysia akan menghantar memorandum kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memohon pertimbangan supaya pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 di Lubnan dibawa pulang segera.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah itu perlu dipertimbangkan memandangkan keadaan semasa di negara itu yang tidak lagi selamat.
“Keadaan di Lubnan ketika ini tidak lagi berasaskan misi pengaman kerana sudah berlaku perang di sana dan semalam pun Israel melakukan serangan, lebih 300 orang terbunuh.
"Saya dah arahkan kita punya wakil tetap di PBB untuk mengumpulkan negara-negara rakan yang menganggotai misi pengaman ini dan kita nak buat memorandum kepada Setiausaha Agung PBB dengan secepat mungkin," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah-Sekolah di Dewan Undangan Negeri(DUN) Rantau di sini pada Khamis.
Menurutnya, tempoh matang misi berkenaan sepatutnya berakhir hujung tahun ini, namun sekiranya keadaan perang yang masih berterusan, perlunya PBB membuat semakan semula keberadaan pasukan terbabit di sana.
Ini kerana jelas beliau, Malaysia tidak mahu ada anggota MALBATT termasuk dari negara lain yang tercedera atau terbunuh.
"Kita ucapkan takziah kepada kerajaan Indonesia kerana anggota misi pengaman mereka terbunuh semasa menjalankan misi pengaman di Lubnan dan kita tidak mahu anggota kita turut terdedah.
"Ketika dalam mesyuarat kabinet, saya telah pun minta Menteri Pertahanan supaya anggota kita tidak lagi perlu membuat rondaan sebaliknya hanya duduk di dalam bangunan supaya tidak terdedah kepada apa jua sebarang kemungkinan," katanya.
Beliau berkata, Malaysia tidak boleh membuat keputusan sendiri membawa keluar kira-kira 511 pegawai dan anggota MALBATT kerana ia di bawah Majlis Keselamatan PBB.
Tambahnya, tindakan sebegitu tidak menampakkan sesuatu yang baik kepada Malaysia dan boleh memberi beberapa implikasi terutamanya soal kewangan kerana semuanya ditanggung oleh PBB.
Selain itu Ahli Parlimen Rembau tersebut berkata, enam buah kapal Malaysia dijangka dibenarkan melalui Selat Hormuz selepas tempoh gencatan senjata selama dua minggu antara Iran dan Amerika Syarikat berakhir.
Katanya, setakat ini sebuah kapal tangki yang membawa bekalan minyak mentah telah pun berjaya keluar dari kawasan berkenaan.
“Semua kapal tidak boleh lalu sekarang. Satu telah selamat keluar daripada selat tersebut manakala enam lagi masih menunggu.
“Dia (kapal tangki pertama) sudah berada di perairan antarabangsa dan sedang dalam perjalanan menuju ke kilang penapisan minyak di Pengerang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

