Iran sedia hadapi sebarang kemungkinan

IRAN menyatakan ia bersedia menghadapi sebarang kemungkinan selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memberi amaran bahawa 'seluruh tamadun akan musnah' jika republik Islam itu tidak mematuhi tarikh akhir untuk membuka Selat Hormuz.
Bercakap di Budapest, Naib Presiden, JD Vance berkata, AS mempunyai 'alat yang setakat ini belum diputuskan untuk digunakan' terhadap Iran, tanpa memberikan penjelasan lanjut.
Rumah Putih kemudian menafikan bahawa Vance merujuk kepada senjata nuklear, manakala Setiausaha Akhbar Karoline Leavitt berkata dalam kenyataan kepada AFP bahawa “hanya Presiden yang tahu kedudukan sebenar dan apa yang akan dilakukannya”.
Kenyataan itu dibuat ketika Iran melaporkan AS dan Israel telah memulakan serangan terhadap infrastruktur utama, dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengesahkan serangan ke atas landasan kereta api dan jambatan yang menurutnya 'digunakan oleh Pengawal Revolusi'.
Trump sebelum ini berjanji akan melaksanakan pemusnahan menyeluruh terhadap infrastruktur kritikal Iran, khususnya jambatan dan loji janakuasa, sekiranya tiada perjanjian dicapai sebelum tengah malam waktu tempatan.
Namun beberapa jam sebelum tarikh akhir, tentera Israel menyatakan mereka telah melengkapkan gelombang serangan besar yang menyasarkan tapak infrastruktur di seluruh Iran.
Dalam kenyataan di Truth Social, Trump meningkatkan ugutannya dengan menyatakan bahawa 'seluruh tamadun akan musnah malam ini, dan tidak akan kembali lagi. Saya tidak mahu ia berlaku, tetapi kemungkinan besar ia akan berlaku'.
Tidak jelas maksud sebenar ancaman terbaharu itu atau kaedah yang akan digunakan untuk melaksanakannya.
Beberapa jam sebelum tarikh akhir, Naib Presiden Pertama Iran, Mohammad Reza Aref berkata kerajaannya bersedia untuk semua senario.
“Tiada ancaman yang berada di luar tahap kesiapsiagaan dan keupayaan perisikan kami,” katanya.
Kedua-dua pihak, Trump dan Iran, menolak cadangan gencatan senjata selama 45 hari yang dikemukakan oleh perantara antarabangsa.
Serangan terhadap infrastruktur yang dilaporkan pihak berkuasa Iran pada Selasa termasuk serangan AS-Israel ke atas sebuah jambatan di luar bandar Qom serta jambatan landasan kereta api di tengah Iran yang mengorbankan dua orang.
Pihak berkuasa wilayah turut memaklumkan serangan AS-Israel telah menutup sebuah lebuh raya utama di utara Iran yang menghubungkan bandar Tabriz dengan Tehran.
Agensi berita Mizan turut melaporkan serangan ke atas landasan kereta api di Karaj, berhampiran Tehran.
‘Kematian bukan gurauan’
Seorang pelajar universiti, Metanat, yang rakan sekelasnya terbunuh dalam serangan dua minggu lalu, memberitahu AFP bahawa dia berasa 'sangat takut dan semua orang di negara ini juga patut berasa begitu'.
Wanita berusia 27 tahun itu berkata, walaupun ada yang menganggap ugutan Trump sebagai gurauan, kematian bukanlah satu gurauan.
Ketua hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengecam retorik berunsur hasutan dalam perang Asia Barat itu, sambil memberi amaran bahawa serangan sengaja terhadap orang awam dan infrastruktur awam merupakan jenayah perang.
Pope Leo pula menyifatkan ancaman terhadap penduduk Iran sebagai tidak boleh diterima sama sekali, selain menimbulkan persoalan dari segi undang-undang antarabangsa dan moral.
Di Majlis Keselamatan PBB, Rusia dan China memveto resolusi untuk membuka semula Selat Hormuz, selepas teks tersebut dilonggarkan dengan membuang kebenaran penggunaan kekerasan yang diminta negara Teluk.
Iran secara efektif telah menyekat laluan air itu — yang biasanya menyalurkan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia — sejak perang bermula pada 28 Februari, sekali gus melonjakkan harga tenaga global.
Seorang pesara Iran, Morteza Hamidi berkata, beliau berasa muram terhadap masa depan negara selepas perang.
Lelaki berusia 62 tahun itu turut menyatakan beliau sudah terlalu kerap melihat Trump menarik balik kenyataannya sehingga sukar untuk mempercayai ancamannya: “Kami sudah kebal dengan ugutannya”.
Media kerajaan pula menyiarkan gambar yang didakwa menunjukkan rakyat Iran membentuk rantaian manusia bagi melindungi loji janakuasa ketika detik menuju tarikh akhir semakin hampir.
Kuwait menggesa rakyatnya kekal di dalam rumah dari tengah malam hingga 7 pagi, manakala pelabuhan utama Bahrain mengumumkan akan menggantung operasi bermula awal Rabu.
Serangan lain
Selain serangan terhadap infrastruktur, serangan turut dilaporkan di Pulau Kharg, hab penting industri minyak Iran, menurut agensi berita Mehr, walaupun media AS menyatakan sasaran tersebut adalah kemudahan ketenteraan.
Terdahulu, beberapa letupan dilaporkan berlaku di sekitar Teheran, dengan media Iran menyatakan 18 orang termasuk dua kanak-kanak terbunuh dalam serangan di wilayah Alborz.
Serangan AS-Israel juga dilaporkan memusnahkan sepenuhnya sinagog Rafi-Nia di ibu negara, menurut media tempatan. Tentera Israel kemudian menyatakan kekesalan atas kerosakan sampingan, sambil menjelaskan sasaran sebenar adalah seorang komander kanan tentera, bukan rumah ibadat tersebut.
Pada waktu malam, serangan ke atas Arab Saudi mengenai sebuah kompleks petrokimia di kawasan perindustrian luas di bandar timur Jubail, menurut seorang saksi kepada AFP.
Negara Teluk setakat ini menanggung kesan serangan balas Iran tanpa bertindak balas, namun Menteri Luar Bahrain, Abdullatif bin Rashid Al Zayani memberi amaran bahawa “pengekangan ini tidak boleh dijangka berterusan tanpa had”.
Di medan perang Lubnan, tentera Israel memaklumkan mereka telah melengkapkan penempatan pasukan darat di sepanjang garisan pertahanan di selatan, kawasan mereka bertempur dengan Hezbollah yang disokong Iran.
Tentera itu turut menggesa semua kapal di zon maritim selatan negara itu supaya segera bergerak ke utara bandar Tyre, dengan memberi amaran bahawa operasi ketenteraan akan dijalankan di kawasan tersebut.- AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
