Pemohon layak terima BPN berstatus muflis boleh mohon mulai esok

No Image Caption
A
A
A

CYBERJAYA - Pemohon yang layak menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) tetapi berstatus muflis atau disenaraihitamkan boleh membuat permohonan secara dalam talian mulai esok.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), kerajaan sentiasa prihatin dan mendengar pandangan rakyat dalam memastikan BPN dinikmati oleh semua penerima yang layak dan tiada yang tertinggal.

"Sehubungan itu, kerajaan memutuskan bahawa pemohon yang layak menerima BPN tetapi berstatus muflis atau disenarai hitam, turut boleh membuat permohonan secara dalam talian melalui portal rasmi LHDNM di www.hasil.gov.my atau pautan pantas https://bpn.hasil.gov.my/ mulai 6 April," katanya di sini hari ini.

Kenyataan itu berkata, permohonan mereka yang layak akan diproses sewajarnya berdasarkan syarat-syarat kelayakan yang telah ditetapkan dan bagi permohonan yang lulus bayaran BPN akan dibuat secara tunai di Bank Simpanan Nasional.

"Kerajaan berharap BPN ini benar-benar dapat membantu semua golongan rakyat yang memerlukannya dan ia dibelanjakan secara berhemah," kata kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, sebagai memberikan kemudahan kepada pelanggan, sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan perkara di atas juga boleh diajukan kepada LHDNM.

Orang ramai boleh menghubungi Hasil Care Line (HCL) di 03-8911 1000, HASiL Live Chat, Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/.

Selain itu, maklum balas boleh dibuat menerusi Media Sosial Rasmi LHDNM iaitu Facebook dan Twitter.

Artikel Berkaitan: