Duda campak anak kucing ke dinding dobi, menangis teresak-esak dipenjara enam bulan

Teck Hooi (dua dari kiri) menangis teresak-esak apabila dihukum penjara selama enam bulan selepas gagal membayar denda RM60,000 di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa.
Teck Hooi (dua dari kiri) menangis teresak-esak apabila dihukum penjara selama enam bulan selepas gagal membayar denda RM60,000 di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa.
A
A
A

KAJANG – Seorang duda anak tiga yang tular dalam kes mendera dengan mencampakkan anak kucing ke dinding sebuah dobi, menangis teresak-esak apabila dihukum penjara selama enam bulan, selepas dia gagal membayar denda RM60,000 di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa.

Penganggur, Toh Teck Hooi, 49, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim, Khainur Aleeza Ismail.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mendera anak kucing jantan berwarna hitam dengan kejam iaitu mencampaknya ke dinding dan tilam berulang kali di sebuah dobi di Taman Kajang Prima, jam 3.30 hingga 4 pagi pada 2 April.

Dalam video tular, satu anak kucing menjadi mangsa dera termasuk dicampak ke dinding.
Dalam video tular, satu anak kucing menjadi mangsa dera termasuk dicampak ke dinding.

Pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 29(1) akta sama.

Subseksyen itu memperuntukkan hukuman denda antara RM20,000 dan RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Mohd Sharif Sabran, sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh memuat naik video berdurasi selama 59 saatd i aplikasi sosial miliknya memaparkan kesalahan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Pegawai Kebajikan Haiwan, JPV Selangor menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian pada Jumaat minggu lalu.
Pegawai Kebajikan Haiwan, JPV Selangor menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian pada Jumaat minggu lalu.

Sehari kemudian, Pegawai Kebajikan Haiwan, JPV Selangor menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian.

Pemeriksaan awal ke atas anak kucing tersebut mendapati, kaki kanan belakang disyaki tercedera kerana ia menunjukkan tanda-tanda tidak selesa apabila disentuh.

Ia juga kelihatan tidak aktif dan kurang bermaya.

Suspek kemudiannya ditahan reman selama empat hari bermula Sabtu lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!