'Rafizi kenalah pujuk James Chai balik segera beri keterangan' - Puad Zarkashi

SHAH ALAM - Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli diminta memujuk bekas pegawai khasnya, Chai Jin Shern atau James Chai untuk pulang ke tanah air dengan kadar segera bagi memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, langkah itu perlu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan berkaitan perjanjian mega dengan syarikat semikonduktor, ARM Holdings Plc.
"Justeru Rafizi kenalah pujuk James Chai bekas pegawai khas dia itu balik segera ke Malaysia untuk beri keterangan.
"Takut apa balık. Kenapa jadi pelarian macam Jho Low dan menantu Muhyiddin?
"SPRM sedia tanggung tambang balik James Chai, kalau begitu saya pun ingin buat tawaran yang sama tetapi kelas ekonomilah," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Mohd Puad turut mengkritik tindakan Rafizi yang hanya memberi penjelasan panjang lebar di media sosial berbanding memberikan keterangan rasmi kepada pihak berkuasa.
Pihaknya mengharapkan Ahli Parlimen Pandan itu segera disiasat dan memberi keterangan.
"Dia boleh kata mana ada duit berbilion ringgit telah masuk akaun banknya seperti Datuk Najib (Datuk Seri Najib Razak) tetapi itu bukan isunya, salah laku dan menipu banyak caranya.
"Tidak perlu alih isu kononnya PMX (Perdana Menteri) setuju dalam kabinet. Meminda draf pun Najib kena dakwa sampai ada orang lain dapat pingat.
"Mahkamah putuskan Najib kena bayar balik AS$1.3 bilion kepada SRC (SRC International Sdn Bhd) kerana Najib yang luluskan pinjaman dari Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP)," tambahnya lagi.
Terdahulu, SPRM pada Rabu lalu telah mengeluarkan surat yang menetapkan bahawa James Chai perlu hadir dalam tempoh dua minggu dan SPRM juga bersedia untuk menanggung kos penerbangan pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan.
James Chai telah dikenal pasti sebagai individu yang diperlukan untuk membantu siasatan.
SPRM menjelaskan, sekiranya James Chai masih gagal hadir setelah diberikan lanjutan masa sebanyak dua kali, pihaknya akan mempertimbangkan untuk mendapatkan kerjasama saluran antarabangsa termasuk Polis Antarabangsa (Interpol) atau agensi penguatkuasaan luar negara bagi mengesan dan memastikan kehadirannya.
Pada 12 Februari, SPRM menerima laporan berhubung dakwaan penyelewengan pelaburan RM1.11 bilion melibatkan bekas menteri kanan sebuah kementerian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
