Uncle Kentang pernah makan sisa sayur terbuang

Chee Heng sedih mengenangkan pergerakannya kini terbatas untuk membantu mereka yang kesusahan ketika wabak Covid-19 melanda negara.
Chee Heng sedih mengenangkan pergerakannya kini terbatas untuk membantu mereka yang kesusahan ketika wabak Covid-19 melanda negara.
A
A
A

SAYA masih tak boleh lupa bagaimana kami adik-beradik terpaksa makan sisa sayur dikutip mak dan ayah yang dibuang di tepi gerai, kata aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang.

Sambil menitiskan air mata, Chee Heng yang berasal dari Kampung Bukit Cermai, Batu Pahat, Johor ketika berkongsi kisah sedih itu kepada Sinar Ahad berkata, apabila dewasa beliau berjanji kepada dirinya tidak akan membiarkan orang lain mengalami nasib sepertinya ketika masih kecil.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, pengalaman bergelar anak penoreh getah baginya adalah sesuatu yang sukar dilupakan apatah lagi terpaksa sentiasa mengikat perut dan hanya makan apa yang dibawa pulang ibu dan bapanya ke rumah.

Mengimbas kembali kehidupannya ketika kecil, Chee Heng berkata, beliau terhutang budi dengan pengorbanan ibu dan bapanya yang berkorban segala-galanya bagi membesarkan beliau 10 beradik.

“Saya masih ingat mak terpaksa tunggu berjam-jam di luar sebuah kedai runcit untuk berhutang dan beli barang dengan tauke kedai. Bila penat berdiri, mak saya mencangkung dan turut digigit nyamuk sebelum tauke benarkan dia masuk pilih barang.

“Tidak cukup dengan itu, mak saya kemudian terpaksa redah perjalanan sejauh empat kilometer termasuk melalui kawasan perkuburan dan kebun getah dalam keadaan gelap gelita untuk pulang ke rumah,” katanya.

Chee Heng (duduk, dua dari kiri) bersama ahli keluarganya.
Chee Heng (duduk, dua dari kiri) bersama ahli keluarganya.

Chee Heng yang kini Presiden Persatuan Kepolisan Masyarakat (CP) Malaysia berkata, bapanya jarang sekali membeli ikan timbang sebaliknya membeli ikan dijual secara longgok kerana lebih murah.

Artikel Berkaitan:

“Dulu ayah tak mampu beli sayur. Kami hanya kutip sayur sisa buangan orang di tepi gerai, saya faham dan mengerti. Jarang sekali ayah beli ikan timbang, hanya beli ikan longgok.

“Bukan itu sahaja, rumah saya tak ada kipas, bekalan elektrik dan juga paip air. Walaupun perit kehidupan ketika itu, dengan adakalanya makan nasi berlaukkan garam namun kehidupan kami sekeluarga ceria," katanya.

Menurutnya, mereka sekeluarga juga tidak pernah merasai nikmatnya tidur di atas tilam dan hanya beralaskan tikar usang serta papan lapis untuk lena.

“Tidak macam sekarang ada pendingin hawa, cerek elektrik dan sebagainya. Dulu kalau nak rasa 'aircond', saya akan pergi ke pondok di kawasan kubur kerana di situ angin kuat.

"Biasanya saya akan bawa buku Tawarikh dan Ilmu Hisab. ‘Roh hantu’ yang ada di sanalah membuatkan saya berjaya dalam pelajaran di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Lim Poon 1, Batu Pahat,” katanya sambil tersengih.

Meruntun jiwa

Chee Heng berkata, kenangan paling meruntun jiwa adalah apabila mengingatkan keadaannya ketika di bangku sekolah.

Kasut sekolah koyak-rabak, sarung kaki berlubang, seluar yang longgar diikat dengan tali rafia serta beg pasar menjadi kelengkapannya ketika pergi ke sekolah.

Pada waktu itu, untuk menuntut ilmu beliau terpaksa berjalan kaki dalam jarak yang jauh. Amat menyedihkan apabila pulang ke rumah dalam keadaan lapar, tiada makanan untuk dijamah.

“Saya berjalan kaki ke sekolah setiap hari meredah lalang yang jauh lebih tinggi daripada ketinggian saya. Kalau hujan pula pasti basah kuyup. Nasib cikgu masa itu hebat dan memahami. Itulah kehidupan yang saya alami.

“Walaupun keadaan susah, saya tetap sayang mak dan ayah. Kalau ada makanan itu nasib baik, kalau tak, cari nanas, betik muda atau pisang mentah pun boleh bedal asalkan perut kenyang dan boleh tidur,” kata beliau.

Chee Heng (kiri) bersama kawan karibnya, Yeo Thian Huat ketika mendapatkan pendidikan di Sekolah Menengah Kolam Air, Batu Pahat, Johor
Chee Heng (kiri) bersama kawan karibnya, Yeo Thian Huat ketika mendapatkan pendidikan di Sekolah Menengah Kolam Air, Batu Pahat, Johor

Sambil tersenyum nakal, Chee Heng turut menceritakan kisah cinta monyetnya yang pernah terpaut hati pada seorang gadis Melayu bernama Badariah.

“Saya tak pernah rasis sejak dari hari pertama bersekolah. Cinta monyet saya ialah Badariah manakala kawan karib saya pelbagai bangsa iaitu Perpal Singh, Tony Ng, Subramaniam dan Harizulzain,” katanya.

Chee Heng yang namanya tiba-tiba terkenal dan tular selepas kisahnya membeli juadah berbuka puasa untuk lapan beranak di Taman Lestari Putra, Seri Kembangan beberapa tahun lalu memberitahu beliau berharap ibunya berbangga kisah sedih yang dilaluinya merubah hidupnya apabila dewasa.

Kini Chee Heng kini menyediakan perkhidmatan van jenazah, ambulans dan teksi 10 sen secara percuma kepada golongan tidak berkemampuan.

Selain mengagihkan bantuan makanan asas secara percuma, Chee Heng yang pernah bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih sebelum ini turut menyediakan Dapur Umum yang membolehkan mereka yang lapar dan miskin mengambil makanan secara percuma.

“Ramai orang bertanya pada saya, kamu Cina kenapa sibuk cari orang susah pelbagai bangsa? Jawapannya, kerana saya tak rela apa yang pernah saya lalui berlaku pada orang lain,” katanya.

Menyentuh situasi penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang melanda Malaysia kini, Chee Heng berkata, pergerakannya sekarang agak terbatas bagi membantu lebih ramai orang.

PROFIL

Nama: Kuan Chee Heng

Umur: 57

Asal: Batu Pahat, Johor

Adik-beradik: 10 orang

Pendidikan:

- Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Limpoon 1, Batu Pahat, Johor

- Sekolah Menengah Kolam Air, Batu Pahat, Johor

- Sekolah Tinggi Batu Pahat, Johor- Memperoleh Sijil Am Pelajaran (GCE) O-Level

Pekerjaan: Ahli perniagaan