Gadis OKU cipta sejarah, tamat ultra maraton 53km

PUTRAJAYA – Seorang gadis golongan orang kurang upaya (OKU) yang menghidap cerebral palsy (kelumpuhan otak) mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menamatkan larian ultra maraton sejauh 53 kilometer, sekali gus melayakkan dirinya menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR).
Lebih membanggakan, pencapaian Nur Wadihan Wira Sudepja, 18, itu diraikan menerusi penyampaian sijil pengiktirafan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MBOR, Christopher Wong, sambil disaksikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Nur Wadihan berjaya menamatkan larian ultra maraton dalam acara 'Watergate 24 Hour Special Edition' di Putrajaya pada 11 Januari lalu dengan catatan masa 9 jam 46 minit, sekali gus membolehkannya diiktiraf MBOR dengan gelaran 'Gadis pertama dengan cerebral palsy yang berjaya menamatkan ultra maraton'.
Menurut bapanya, Wira Sudepja Rabu, kejayaan tersebut merupakan pencapaian ketiga buat anak bongsunya itu yang direkodkan dalam MBOR selepas kejayaan terdahulu pada tahun 2018 dan 2020.
"Bila saya buat sesuatu dengan 'anak syurga' ini, itu adalah cara untuk kita hidup bahagia dengan dia. Ketika saya bawa dia berlari atau berbasikal, dia akan ketawa dan ia bukan dibuat-buat kerana dia tidak boleh berlakon.
"Daripada situ, kita rakamkan dan kongsi. Pada masa sama, kita mahu membawa mesej kesedaran kepada masyarakat bahawa anak seperti ini juga boleh dibawa melakukan sesuatu yang luar biasa walaupun nampak mustahil," katanya kepada Sinar Harian selepas majlis ringkas penyerahan sijil MBOR di sini pada Rabu.

Berkongsi perjalanan menghabiskan acara tersebut, Wira Sudepja memberitahu bahawa cabaran sebenar bukan hanya berlari jarak jauh, tetapi memastikan keperluan anaknya sentiasa terjaga sepanjang misi berkenaan.
"Bukan sekadar berlari, kita perlu menjaga makan minum dan kebersihan dia. Semua ini memerlukan sokongan kuat.
"Bukan saya sahaja, ibu dan kakaknya juga ada bersama. Setiap kali di 'checkpoint', mereka membantu memberi minum dan makan.
"Saya berharap pengiktirafan ini bukan sahaja menjadi simbol kejayaan peribadi, malah mampu menjadi inspirasi kepada golongan OKU lain untuk mencipta kejayaan luar biasa," ujarnya.
Ringkasan AI
- Seorang gadis OKU dengan cerebral palsy menamatkan ultra maraton 53 km di Putrajaya.
- Nur Wadihan Wira Sudepja diiktiraf MBOR sebagai gadis pertama dengan cerebral palsy yang berjaya menamatkan ultra maraton.
- Ini merupakan pencapaian ketiga Nur Wadihan yang direkodkan dalam MBOR selepas kejayaan tahun 2018 dan 2020.
- Bapanya menyatakan aktiviti bersama anaknya adalah cara meraikan kebahagiaan dan memberi kesedaran kepada masyarakat.
- Cabaran utama adalah menjaga keperluan Nur Wadihan sepanjang larian dengan sokongan keluarganya di setiap 'checkpoint'.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

