OKU bukan bodoh, hanya kurang upaya

KEJADIAN yang menimpa penyanyi kumpulan Caliph Buskers, Azmi Saat dan isterinya yang juga seorang OKU, baru-baru ini membuka mata ramai pihak tentang realiti golongan kurang upaya dalam kehidupan seharian.
Azmi berkongsi pengalaman kurang senang ketika berurusan di sebuah bank, iaitu apabila layanan seorang staf bahagian hadapan dirasakannya tidak mesra dan kurang peka terhadap keperluan golongan OKU.
Luahannya menjadi tular di media sosial. Susulan itu, pihak bank mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan isu tersebut secara baik. Tindakan pantas ini mendapat pujian ramai kerana menekankan kepentingan layanan mesra dan responsif.
Sejak dahulu lagi, golongan OKU mendapat perhatian kerajaan dan pihak berwajib. Pelbagai inisiatif seperti Akta Orang Kurang Upaya 2008, kemudahan awam mesra OKU, bantuan pendidikan, program pekerjaan dan sokongan kewangan disediakan untuk memastikan mereka tidak terpinggir dalam masyarakat.
Namun, pengalaman Azmi menunjukkan walaupun dasar telah ada, layanan manusia tetap memainkan peranan penting.
Golongan OKU seperti Azmi yang cacat penglihatan, bergantung sepenuhnya kepada nada suara dan interaksi verbal untuk menilai situasi, kerana mereka tidak dapat menilai ekspresi wajah sama ada sedang tersenyum manis atau senyuman sinis.
Namun insan seperti Azmi dan rakan-rakan OKU yang lain mengharapkan layanan baik sesama manusia dan sedikit empati.
Perkara ini membuka persoalan, mengapa masih ada golongan OKU yang dilayan tanpa sensitiviti sewajarnya? Malah, sedikit kasih, sabar dan perhatian mampu memberi impak besar dalam kehidupan seseorang.
Walaupun isu ini telah selesai, ia memberi pengajaran penting: apabila kita memudahkan urusan orang lain, ALLAH pasti memudahkan urusan kita suatu hari nanti. Kejadian ini mengingatkan semua bahawa OKU bukan bodoh, mereka hanya kurang upaya.
Empati bukan sahaja mempermudahkan urusan golongan OKU, tetapi membentuk masyarakat yang lebih prihatin, inklusif dan bertanggungjawab.
Pengalaman Azmi adalah pengingat nyata setiap tindakan kecil kita boleh membuat perbezaan besar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
