X

Kindly register in order to view this article
!

UPSI nafi lawatan menteri ada persembahan

UPSI
A
A

TANJUNG MALIM - Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menafikan laporan sebuah portal berita kononnya lawatan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad di institusi pengajian tinggi (IPT) itu pada petang tadi melibatkan ramai individu dan persembahan.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Shabran mengakui pada peringkat awal UPSI merancang pelajar membuat persembahan.

Bagaimanapun katanya, setelah merujuk Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), hanya empat individu terdiri dalam kalangan pengurusan tertinggi termasuk Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang bertemu Noraini di Pusat Pelajar.

"Tidak berlaku sebarang persembahan seperti yang ditularkan bahawa lebih 20 pelajar Fakulti Muzik dan Seni Persembahan akan hadir pada satu majlis.

"UPSI sentiasa memastikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sebaik mungkin di sekitar dua kampus iaitu Kampus Sultan Azlan Shah dan Kampus Sultan Abdul Jalil Shah," katanya menerusi satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Mohammad Shatar berkata, berikutan itu, Presiden Persatuan Akademik (PEKA) UPSI, Profesor Madya Dr Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah dan Presiden Kesatuan Pegawai Am (KPA) UPSI, Saiful Lizan Mohd Lajis membuat laporan polis menyangkal bahawa persatuan mereka menyuarakan rayuan kepada menteri supaya menangguhkan lawatan ke UPSI seperti yang tersiar di dalam portal tersebut hari ini.

Terdahulu sebuah portal memetik sumber seorang kakitangan universiti yang enggan dikenali mendakwa hampir 20 orang pelajar dari fakulti muzik diarahkan membuat persembahan sempena lawatan menteri itu namun kemudian dibatalkan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus