Kerajaan Madani bertindak proaktif berasaskan data, realiti semasa hadapi krisis tenaga global

KUALA LUMPUR - Kerajaan Madani akan terus bertindak secara proaktif berlandaskan data dan realiti semasa, termasuk mendapatkan pandangan pihak industri serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dalam menghadapi krisis tenaga global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan itu bagi memastikan setiap langkah yang diambil bersifat menyeluruh, berimbang dan berkesan.
"Kerajaan akan berikhtiar memastikan kestabilan bekalan tenaga terpelihara, ekonomi terus berfungsi dengan baik, serta kebajikan rakyat kekal menjadi keutamaan dalam setiap tindakan,” kata beliau dalam hantaran di laman sosial X pada Selasa.
Beliau yang juga Menteri Kewangan turut memaklumkan telah mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini bagi meneliti secara mendalam perkembangan krisis tenaga global yang kian meruncing serta implikasinya terhadap ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.
"Dalam mengakui cabaran ini, saya ingin menegaskan bahawa asas ekonomi negara kekal kukuh dan berdaya tahan,” kata beliau.
Anwar berkata, hakikatnya, dunia sedang memasuki fasa yang lebih mencabar dan tidak menentu, dan Malaysia tidak terkecuali daripada tempiasnya.
"Justeru, kita tidak boleh alpa atau terlalu selesa. Kita mesti bersiap siaga dengan disiplin, kecekalan dan semangat kebersamaan yang tinggi,” kata beliau.
Dalam masa sama, Anwar mahu seluruh rakyat memperkukuh ekonomi domestik.
"Utamakan barangan tempatan dan sokonglah usahawan kita, kerana kekuatan dalaman merupakan benteng utama dalam mendepani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.
"Insya-ALLAH, setiap keputusan akan terus berpaksikan tanggungjawab dan kepentingan rakyat,” kata beliau. - Bernama
Ringkasan AI
- Kerajaan Madani bertindak proaktif berlandaskan data dan realiti semasa dalam krisis tenaga global. Anwar Ibrahim memastikan setiap langkah bersifat menyeluruh dan berkesan untuk kestabilan bekalan tenaga dan ekonomi. Mesyuarat MTEN diadakan untuk meneliti krisis tenaga global dan implikasinya. Anwar menegaskan asas ekonomi Malaysia kukuh dan rakyat harus memperkukuh ekonomi domestik. Rakyat digalakkan utamakan barangan tempatan dan sokong usahawan tempatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
