Petronas terus pantau bekalan bahan api Malaysia

KUALA LUMPUR - Petroliam Nasional Bhd (Petronas) terus memantau dengan rapi bekalan bahan api negara bagi memastikan kestabilannya di seluruh negara, di tengah-tengah krisis Asia Barat yang berterusan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Petronas berkata, memandangkan tempoh dan kesan sepenuhnya perang di Iran masih tidak menentu, syarikat itu amat menyokong penggunaan tenaga yang lebih cekap oleh industri dan orang ramai.
Syarikat minyak negara itu turut menasihatkan orang ramai agar mengelakkan pembelian panik dan penyorokan bahan api, kerana ia akan memburukkan lagi keadaan kesan daripada krisis tersebut.
Menurut Petronas, walaupun Malaysia merupakan negara pengeluar minyak, ia tidak sepenuhnya terlindung daripada kesan krisis itu.
"Hampir 40 peratus daripada keperluan minyak mentah negara transit menerusi Selat Hormuz. Sejak bermulanya krisis ini, harga minyak mentah telah meningkat hampir 40 peratus.
"Ini mengakibatkan kos penghantaran global, premium insurans dan logistik berkaitan penghantaran turut meningkat dengan ketara.
"Kesemua perkembangan ini telah memberi kesan kepada keselamatan bekalan bahan api Malaysia,” tambahnya.
Dari segi produk, syarikat itu menjelaskan bahawa permintaan negara terus melebihi bekalan domestik dan Petronas memanfaatkan rantaian bekalan bersepadunya, melalui anak syarikatnya untuk mendapatkan bekalan petrol dan diesel yang mencukupi, bagi menyokong bahagian pasarannya iaitu hampir 50 peratus, sehingga Mei 2026.
Menurut syarikat itu, bakinya akan dibekalkan oleh syarikat minyak lain yang beroperasi di Malaysia.
Dalam pada itu, walaupun berdepan tekanan global, Petronas berkata kerajaan menyediakan subsidi untuk RON95 dan diesel untuk mengurangkan kesan kepada rakyat, sekali gus menjadikan harga bahan api di Malaysia kini antara yang terendah di rantau ini.
"Petronas akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan dan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk menguruskan sebarang potensi gangguan dan mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan tenaga ngara,” katanya. - Bernama
Ringkasan AI
- Petronas memantau rapi bekalan bahan api negara di tengah krisis Asia Barat.
- Petronas menyokong penggunaan tenaga lebih cekap dan menasihatkan orang ramai elak pembelian panik.
- Hampir 40% minyak mentah Malaysia melalui Selat Hormuz dan harga minyak mentah meningkat hampir 40%.
- Permintaan bahan api negara melebihi bekalan domestik dan Petronas gunakan rantaian bekalan untuk menampung kekurangan.
- Kerajaan memberikan subsidi RON95 dan diesel untuk mengekalkan harga bahan api rendah di Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
