Pantai Esen hilang seri

BAYAN LEPAS - Dua tahun selepas isu pencemaran dilaporkan pada 2024, keadaan Pantai Esen di Permatang Damar Laut, Batu Maung di sini masih belum pulih sepenuhnya, khususnya ketika air surut.
Malah, bau selut semakin kuat, manakala selut yang semakin menebal di pesisir pantai menjadikan tahap kebersihannya masih kurang memuaskan.
Pantai yang suatu ketika dahulu terkenal dengan pasir bersih serta panorama matahari terbenam yang memukau kini hilang serinya.
Ia pernah menjadi lokasi pilihan penduduk tempatan dan pelancong luar negara untuk berkelah, bersantai serta merakam gambar di pesisir pantai.
Namun kini suasananya jauh berbeza apabila jumlah pengunjung semakin berkurangan susulan kejadian pencemaran yang berlaku sebelum ini.
Tinjauan mendapati selut berwarna gelap memenuhi bahagian tepi pantai sehingga menjejaskan pemandangan dan pengalaman pengunjung.
Difahamkan, pantai tersebut sememangnya mempunyai selut sejak dahulu, namun hanya di bahagian tengah dan tidak sampai ke pesisir pantai.
Kini, selut yang hanyut tidak lagi ditarik semula ke tengah laut, sebaliknya mendap dan kekal di tepi pantai.
Pengusaha aktiviti sukan lasak bermotor (ATV), Mohd Zuhair Hizami Mohd Zainol Abidin berkata, pendapatannya merosot kira-kira 90 peratus sejak pantai tersebut dicemari selut tebal yang mengeluarkan bau busuk.

Menurutnya, pelanggan sebelum ini gemar menunggang ATV di pesisir pantai sambil menikmati pemandangan matahari terbenam, namun keadaan semasa menyebabkan ramai membatalkan tempahan.
“Memang sejak 2024, pendapatan saya merudum. Siapa yang mahu datang jika pantai tidak secantik dahulu?” katanya.
Mohd Zuhair berkata, jika dahulu dia mampu meraih sehingga RM2,000 setiap hujung minggu, kini pendapatannya merosot kepada sekitar RM500 sahaja.
Keadaan itu memaksanya mencari sumber pendapatan lain kerana tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada perniagaan ATV.
Dia yang merupakan penduduk kampung di situ juga terpaksa menjual sebuah ‘buggy’ daripada dua yang dimiliki sebelum ini bagi menampung kos operasi.
“Perniagaan memang merosot menyebabkan saya terpaksa mencari kerja lain.
“Pekerja saya daripada 10 orang, sekarang hanya tiga orang kerana tidak mampu membayar gaji akibat kekurangan pelanggan,” katanya.

Sementara itu, pemilik rumah bot, Jaffar Ishak, 55, berkata, perniagaannya di kawasan tersebut yang dijalankan sejak beberapa tahun lalu turut terjejas teruk dengan kemerosotan sehingga 90 peratus.
Katanya, rumah bot berkenaan menyediakan perkhidmatan kafe dan berfungsi sebagai jeti untuk pemancing sebelum menaiki bot ke lokasi memancing.
“Dahulu memang meriah kaki pancing datang ke rumah bot saya, tetapi sekarang boleh dikira dengan jari sahaja.
“Di samping pemandangan yang tidak cantik, tempoh pemancing turun ke laut juga semakin singkat kerana mereka perlu menilai keadaan air terlebih dahulu sebelum keluar memancing.
“Jika terlambat, air akan surut dan mereka tidak boleh pulang kerana selut tebal sehingga ke pesisir pantai. Jika dahulu, walaupun air laut surut, bot masih boleh lalu kerana selut hanya di bahagian tengah sahaja,” ujarnya.
Dia mendakwa, masalah selut yang semakin tebal dipercayai berpunca daripada saliran air yang terkepung susulan projek tambakan laut sehingga menyebabkan aliran arus menjadi perlahan.
Susulan itu, Jaffar berharap pihak berkuasa seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) atau kementerian berkaitan merangka pelan jangka pendek dan panjang, termasuk melaksanakan kerja menyedut selut secara berkala serta pembinaan terusan lebih enam meter lebar bagi melancarkan aliran air.
“Walaupun kontraktor ada menyalurkan peruntukan kepada persatuan komuniti untuk kerja pembersihan pantai, usaha membersihkan selut tebal itu tidak mampu dilaksanakan hanya dengan tenaga manusia semata-mata.
“Kerja-kerja membersihkan selut ini perlu dilaksanakan dengan bantuan jentera khas. Oleh itu, kami selaku penduduk yang mencari rezeki di sini memohon pihak berkaitan mengambil langkah yang sepatutnya bagi menangani masalah Pantai Esen ini,” katanya.
Ringkasan AI
- Pantai Esen di Permatang Damar Laut masih terjejas akibat pencemaran sejak 2024.
- Keadaan pantai yang tercemar menyebabkan pengunjung berkurangan dan menjejaskan ekonomi tempatan.
- Pendapatan pengusaha ATV, Mohd Zuhair merosot sebanyak 90% dan terpaksa mencari sumber pendapatan lain.
- Pemilik rumah bot, Jaffar Ishak juga mengalami kemerosotan perniagaan akibat selut tebal yang menjejaskan aktiviti memancing.
- Masalah selut berpunca daripada saliran air terkepung, memerlukan tindakan segera pihak berkuasa untuk pemulihan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


