Suami isteri mangsa bunuh di Merbok selamat dikebumikan

SUNGAI PETANI - Jenazah pasangan suami isteri mangsa bunuh di Kampung Belau, Merbok selamat dikebumikan pada jam 9 malam tadi di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Atiq, di sini.
Dua kenderaan milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membawa jenazah Zikri Abdul Rahman, 65, dan isterinya, Suraya Man, 53, tiba di masjid berkenaan pada 7 malam, selepas dituntut keluarga dari Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar petang tadi.
Kira-kira 300 orang terdiri daripada saudara mara dan penduduk kampung hadir pada upacara pengebumian yang bermula selepas solat maghrib.
Anak tunggal Zikri, Mohammad Shahmi, 24, seorang anggota tentera yang bertugas di Kuala Lumpur ketika ditemui pemberita bagaimanapun enggan ditemu bual.
Semalam media melaporkan tiga beranak ditemukan meninggal dunia dalam keadaan tragis di rumah mereka di kampung berkenaan.
Jenazah anak kepada mangsa wanita, yang merupakan suspek kes itu, dikebumikan petang semalam selepas selesai bedah siasat dijalankan di hospital yang sama. - Bernama
Ringkasan AI
- Jenazah pasangan suami isteri mangsa bunuh dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Atiq. Dua kenderaan ATM membawa jenazah tiba di masjid dari Hospital Sultanah Bahiyah. Kira-kira 300 orang hadir pada upacara pengebumian selepas solat maghrib. Anak tunggal mangsa, Mohammad Shahmi, enggan ditemu bual. Jenazah anak mangsa, suspek kes, dikebumikan selepas bedah siasat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
