Tandatangan Trump akan tertera pada mata wang kertas AS

ANKARA - Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) pada Khamis mengumumkan bahawa tandatangan Presiden Donald Trump akan tertera pada mata wang kertas AS pada masa hadapan, menandakan kali pertama bagi seorang presiden yang sedang berkhidmat, lapor Anadolu Ajansi.
Keputusan itu dikaitkan dengan ulang tahun ke-250 AS yang akan datang, menurut kenyataan jabatan berkenaan.
"Bagi menghormati ulang tahun ke-250 Amerika, tandatangan Presiden Donald J. Trump akan tertera pada mata wang kertas AS pada masa hadapan," menurut Perbendaharaan.
Tandatangan itu akan tertera di samping tandatangan Setiausaha Perbendaharaan.
Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent berkata langkah itu mencerminkan keutamaan ekonomi di bawah pentadbiran berkenaan.
"Di bawah kepimpinan Presiden Trump, kita berada di landasan ke arah pertumbuhan ekonomi yang belum pernah terjadi sebelum ini, penguasaan dolar yang berterusan, serta kekuatan dan kestabilan fiskal," katanya.
"Tiada cara yang lebih berkuasa untuk mengiktiraf pencapaian bersejarah negara kita yang hebat dan Presiden Donald J. Trump selain daripada wang kertas dolar AS yang tertera nama beliau," tambahnya.
Bendahari AS Brandon Beach turut mengulas mengenai keputusan itu dengan berkata: "Memandangkan ulang tahun ke-250 negara kita yang hebat semakin hampir, mata wang Amerika akan terus berdiri sebagai simbol kemakmuran, kekuatan, dan semangat rakyat Amerika yang teguh."
"Mencetak tandatangan beliau pada mata wang Amerika bukan sahaja sesuai malah ia sememangnya layak," tambah Beach. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
