Trump dakwa ditawarkan jawatan tertinggi Iran

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mendakwa bahawa beliau telah 'ditawarkan' jawatan Pemimpin Tertinggi Iran, tetapi menolaknya dengan berkata 'tidak, terima kasih'.
Kenyataan itu disuarakan ketika beliau berucap di majlis kutipan dana Parti Republikan di Washington baru-baru ini.
Menurut Trump, sebahagian besar kepimpinan Iran takut mengambil jawatan tertinggi kerana bimbang akan diserang oleh pasukan Amerika Syarikat dan Israel.
Beliau menegaskan bahawa pemimpin Iran sendiri 'tidak mahu' jawatan tersebut dan secara jenaka menambah bahawa mereka 'ingin melantik beliau sebagai Pemimpin Tertinggi seterusnya'.
Trump juga menegaskan bahawa Teheran sedang berunding dengan Washington untuk mengakhiri perang hampir sebulan yang melibatkan kedua-dua negara, walaupun pegawai Iran secara terbuka menafikan dakwaan ini.
Beliau mendakwa pegawai Iran enggan mengaku rundingan kerana bimbang akan dibunuh oleh rakyat sendiri atau pihak Amerika.
Namun, kenyataan Trump tidak disokong oleh fakta rasmi mengenai sistem kepimpinan Iran.
Selepas kematian Ayatollah Ali Khamenei, Mojtaba Khamenei telah dipilih secara rasmi oleh Majlis Pakar Ulama sebagai Pemimpin Tertinggi baharu pada 8 Mac 2026, mengekalkan kelangsungan pentadbiran negara.
Penganalisis politik menegaskan dakwaan Trump lebih bersifat retorik untuk menarik perhatian politik domestik dan bukan menunjukkan Iran benar-benar menawarkan jawatan tertinggi itu.
“Ini lebih kepada naratif politik dan persepsi kelemahan kepimpinan Iran semasa konflik,” kata seorang penganalisis dari Washington.
Ketegangan di Asia Barat kekal tinggi, dengan Iran terus mengekalkan operasi peluru berpandu dan dron terhadap sasaran ketenteraan Israel dan AS, manakala rundingan damai secara rasmi masih tersekat di peringkat antarabangsa.-Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

