48 stesen minyak dikenal pasti berisiko tinggi berlaku ketirisan subsidi

KOTA BHARU - Sebanyak 48 stesen minyak yang beroperasi dalam lingkungan 25 kilometer dari sempadan negara di Kelantan dikenal pasti berisiko tinggi berlakunya aktiviti ketirisan subsidi.
Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Aswadi Jaafar berkata, pihaknya kini meningkatkan kekerapan pemeriksaan di stesen minyak terbabit bagi mengelakkan penyelewengan bahan bakar oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Pelaksanaan Ops Tiris 2026 turut memberi tumpuan kepada pemeriksaan dan penguatkuasaan perundangan KPDN di lokasi tumpuan awam seluruh negeri.
"Operasi ini melibatkan pemantauan sepenuhnya terhadap tahap pematuhan peniaga serta memastikan bekalan barangan keperluan sentiasa mencukupi, selain menjamin kestabilan harga kepada pengguna,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, rondaan yang dijalankan juga memfokuskan pemantauan terhadap kenderaan yang disyaki cuba melakukan pengisian berulang menggunakan tong jerikin atau tangki tambahan.
"Selain itu, pemeriksaan turut dijalankan ke atas pemegang permit dan pemborong yang dikeluarkan oleh KPDN bagi memastikan pematuhan kepada syarat yang ditetapkan.
"KPDN tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ketirisan dan penyalahgunaan subsidi, khususnya dalam situasi semasa yang memerlukan kawalan rapi terhadap bekalan serta harga bahan api,” katanya. - Bernama
Ringkasan AI
- Sebanyak 48 stesen minyak di Kelantan berisiko tinggi berlakunya aktiviti ketirisan subsidi
- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Kelantan meningkatkan kekerapan pemeriksaan
- Ops Tiris 2026 menumpukan kepada pemeriksaan dan penguatkuasaan perundangan di lokasi awam
- Rondaan fokus kepada kenderaan yang cuba melakukan pengisian berulang menggunakan tong jerikin
- KPDN memastikan pematuhan syarat ke atas pemegang permit dan pemborong serta tidak berkompromi terhadap penyalahgunaan subsidi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
