Pelajar jatuh apartmen: Bapa mohon hentikan penyebaran video, gambar

Md Nazry (duduk, dua kiri) bersama ahli keluarganya membaca doa di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 19, Shah Alam.
Md Nazry (duduk, dua kiri) bersama ahli keluarganya membaca doa di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 19, Shah Alam.
A
A
A

SHAH ALAM - Bapa kepada remaja lelaki yang ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh sebuah apartmen di Seksyen 19 di sini pada Selasa, meminta orang ramai tidak menyebarkan video dan gambar Allahyarham ketika terbaring di lokasi kejadian.

Bapa mangsa, Md Nazry Md Nassir, 42, berkata, ketika kejadian dia berada di pusat dialisis sebelum menerima panggilan daripada ahli keluarganya memaklumkan anaknya, Muhammad Nazheef terjatuh.

Allahyarham Muhammad Nazheef
Allahyarham Muhammad Nazheef

Menurutnya, pada awalnya dia menyangka kejadian itu hanya insiden jatuh biasa sebelum membuat keputusan menghentikan rawatan dialisis lebih awal untuk pulang ke rumah.

“Saya tengah dialisis masa dapat panggilan daripada orang rumah. Kakak dia beritahu dia pengsan dan jatuh.

“Saya ingatkan jatuh biasa saja, jadi saya tak habiskan dialisis. Saya buat tiga jam saja, sepatutnya empat jam,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Rabu.

Media sebelum ini melaporkan, remaja berusia 14 tahun ditemui orang awam kira-kira jam 4.20 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan bawah bangunan sebelum dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Bagaimanapun, pelajar Tingkatan Dua itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di Zon Merah hospital berkenaan pada jam 5.40 petang.

Artikel Berkaitan:

Solat jenazah di Surau Seksyen 9, Shah Alam pada Rabu.
Solat jenazah di Surau Seksyen 9, Shah Alam pada Rabu.

Md Nazry berkata, sebaik tiba di rumah kira-kira jam 4.50 petang, dia mendapati ambulans sudah berada di lokasi bagi membawa anaknya mendapatkan rawatan.

Ujarnya, berdasarkan maklumat daripada anak sulungnya, Allahyarham dipercayai turun untuk membuang sampah sebelum kejadian berlaku.

"Arwah anak kedua daripada dua beradik, dia merupakan seorang pelajar yang baik dan tidak mempunyai sebarang masalah di sekolah.

“Dia belajar semua okey, di sekolah pun kelas bagus. Dia memang anak yang baik, seorang yang pendiam namun sering membantu keluarga di rumah," katanya.

Jenazah pelajar Tingkatan Dua sebuah sekolah menengah di Shah Alam yang maut pada Selasa, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21.
Jenazah pelajar Tingkatan Dua sebuah sekolah menengah di Shah Alam yang maut pada Selasa, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang rakaman kejadian yang memaparkan keadaan anaknya itu.

"Kalau ada gambar atau video arwah terbaring di bawah apartmen itu, saya minta tolong jangan sebarkan, sebolehnya padamkan," katanya.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan selepas solat Zuhur di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini.

Ringkasan AI

  • Bapa kepada remaja yang maut selepas jatuh dari tingkat tujuh meminta jangan sebarkan video kejadian
  • Md Nazry Md Nassir berada di pusat dialisis ketika menerima panggilan bahawa anaknya terjatuh
  • Muhammad Nazheef, 14 tahun, ditemui tidak sedar di kawasan bawah bangunan dan disahkan meninggal di hospital
  • Allahyarham dipercayai turun untuk membuang sampah sebelum terjatuh
  • Md Nazry menggambarkan anaknya sebagai pelajar yang baik dan membantu keluarga

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!