Orang ramai serbu Pasar Payang 'shopping' emas raya

KUALA TERENGGANU – Kejatuhan harga emas yang mencecah sehingga RM560 segram bagi emas 916 berbanding RM650 sebelum ini mencetuskan fenomena luar biasa apabila orang ramai mula menyerbu kedai-kedai emas di sekitar Pasar Besar Kedai Payang di sini, bagi merebut peluang 'shopping' emas raya.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, rata-rata peniaga emas menarik nafas lega dengan peningkatan jumlah pelanggan yang mendadak sehingga 70 peratus, terutamanya melibatkan pengunjung dari luar Terengganu seperti Selangor, Pahang dan Johor.
Peniaga emas JJ Gold, Wan Noor Emilia Wan Azhar, 32 berkata, suasana selepas raya jauh berbeza berbanding awal Ramadan yang disifatkan agak sepi tanpa sambutan.
"Seminggu awal puasa memang tak ada sambutan langsung, masa itu harga emas sekitar RM650 ke RM670. Tapi, sejak semalam harga turun ke RM560 dan kami melihat peningkatan pelanggan daripada 20 peratus kepada 70 peratus hari ini (Selasa).

"Walaupun hujung minggu di Terengganu adalah hari cuti, kami tetap beroperasi kerana ramai pelanggan luar yang pulang berhujung minggu di sini mengambil peluang untuk membeli emas, " katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.
Sementara itu, Peniaga emas dari Kedai Emas Norzek Pasar Payang 2, Syakir Hilmi Afifi Rosdi, 39 berkata, harga emas pada hari pertama Aidilfitri mencatatkan sekitar RM530 berbanding RM560 sebelum itu, manakala seminggu sebelumnya harga pernah mencecah RM650 segram.
"Hari ini harga emas saya jual pada paras RM539 dan jumlah pelanggan boleh dikatakan meningkat sekitar 30 peratus di mana kebanyakannya datang dari luar Terengganu.
"Kami hanya mengambil untung atas upah sahaja memandangkan harga emas sedang turun," ujarnya.
Jelasnya, terdapat beberapa trend terkini jenis emas antaranya dubai dan bunga padi yang menjadi pilihan pelanggan.
"Pelanggan muda biasanya lebih gemar membeli cincin satu set dengan gelang tangan untuk kegunaan harian dan raya. Orang luar pula lebih kepada simpanan masa depan," katanya.
Menurut Syakir, operasi kedainya yang kebiasaannya bermula jam 10.30 pagi sehingga 5 petang terpaksa dilanjutkan sehingga jam 7 malam bagi memenuhi permintaan pelanggan yang luar biasa pada musim perayaan ini.

Sementara itu, Peniaga Kedai Emas dan Permata Setanjak, Wahab Ali memberitahu, keunikan urus niaga emas di Terengganu adalah pada kadar upahnya yang lebih kompetitif berbanding di Kuala Lumpur.
"Di Kuala Lumpur harga mungkin masih sekitar RM580 ke RM600, tetapi di sini harga purata antara RM540 hingga RM560. Peniaga di Terengganu kebanyakannya niaga pada upah, bukan pada harga emas semata-mata. Itu sebabnya harga di sini lebih murah.
"Walaupun dari segi perniagaan harga sekarang dianggap 'rugi' bagi stok lama yang dibeli pada harga tinggi, namun aliran keluar masuk barang sangat laju.
"Ramai yang datang untuk tinjauan harga dan melakukan pelaburan dengan menjual emas lama untuk menambah koleksi baharu untuk digayakan pada musim perayaan," katanya.
Pada masa sama, kebanyakan peniaga emas menasihatkan orang ramai agar mengambil peluang keemasan ini memandangkan kenaikan harga emas pada masa hadapan tidak dapat dijangka dan berkemungkinan besar akan melonjak naik semula dalam masa terdekat.
Berdasarkan rekod, harga emas 916 pernah mencatat paras tertinggi dengan diniagakan sehingga RM640 per gram pada Januari lalu didorong oleh ketidaktentuan geopolitik.
Harga tersebut tertakluk kepada perubahan harian dan berbeza mengikut kedai emas, kualiti, dan upah kerja.
Ringkasan AI
- Harga emas turun sehingga RM560 segram memicu lonjakan pelanggan ke kedai-kedai emas di Pasar Besar Kedai Payang, Terengganu
- Peniaga emas mencatatkan peningkatan jumlah pelanggan sehingga 70 peratus, terutama dari luar Terengganu
- Penurunan harga emas dari RM650 segram ke RM560 segram menyebabkan pelanggan memanfaatkan peluang untuk membeli emas
- Pelanggan dari luar negeri memanfaatkan hujung minggu dan cuti untuk membeli emas sebagai simpanan masa depan atau untuk kegunaan hari raya
- Peniaga emas di Terengganu menjual emas pada harga yang lebih kompetitif berbanding dengan Kuala Lumpur kerana mengambil untung atas upah sahaja
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

