Suspek tembak lelaki punyai 13 rekod lampau jenayah, dadah

Tengku Mohd Faisal (tengah) menunjukkan pistol jenis Revolver yang dirampas.
Tengku Mohd Faisal (tengah) menunjukkan pistol jenis Revolver yang dirampas.
A
A
A

KULIM - Suspek yang menembak lelaki sehingga cedera di lengan dan dada di Kampung Permatang Durian, Padang Serai, di sini awal pagi Sabtu dikesan mempunyai 13 rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintenden Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng berkata, mangsa berusia 32 tahun, turut mempunyai 12 rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Menurutnya, suspek berusia 42 tahun merupakan pemandu lori dikatakan bertengkar dengan mangsa yang juga rakannya sebelum melepaskan tembakan.

"Pada 21 Mac 2026 jam lebih kurang 12.01 pagi, pihak polis telah menerima panggilan kecemasan berhubung satu kejadian tembakan.

"Suspek disyaki bertindak melepaskan satu das tembakan di hadapan rumah ibu mangsa sehingga mengenai bahagian lengan kanan dan dada sebelum melarikan diri," katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim pada Selasa.

Menurut Tengku Mohd Faisal, mangsa dibawa ke Hospital Kulim untuk rawatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati tembakan tersebut tidak melibatkan organ dalaman kritikal.

Katanya, punca kejadian belum dapat dipastikan dan masih dalam siasatan pihak polis.

Jelasnya, suspek ditahan kurang 24 jam di hadapan sebuah rumah sekitar Kampung Naga Lilit, Padang Serai.

Artikel Berkaitan:

"Polis turut merampas sepucuk pistol jenis Revolver 0.38, 10 butir peluru dan dua kelongsong. Rampasan turut membabitkan sebuah kereta jenis Honda Civic warna kuning dan pakaian milik suspek yang disyaki digunakan semasa kejadian," katanya.

Suspek direman enam hari sehingga 26 Mac ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian sehingga boleh menggangu siasatan.

Sebelum ini, media melaporkan, seorang operator kilang cedera di lengan dan dada kanan akibat terkena tembakan dilepaskan suspek dalam kejadian awal pagi Sabtu.

Ringkasan AI

  • Suspek yang menembak lelaki sehingga cedera di Kulim mempunyai 13 rekod kesalahan lampau
  • Mangsa berusia 32 tahun mempunyai 12 rekod jenayah lampau
  • Suspek dan mangsa adalah rakan sebelum kejadian tembakan
  • Mangsa dalam keadaan stabil setelah dibawa ke Hospital Kulim
  • Suspek ditahan kurang 24 jam selepas kejadian dan polis merampas senjata api serta barang bukti lain

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!