'Hospital jadi rumah kedua'

SUBANG JAYA - Tragedi letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights pada hari kedua Syawal tahun lepas masih menyelubungi kesedihan penduduk terjejas apabila meraikan Aidilfitri kali ini dalam keadaan dibayangi trauma.
Pesara guru di Kampung Kuala Sungai Baru, Batu 13, Marizah Omar, 59, berkata, hospital umpama rumah kedua apabila cucu perempuan berusia lima tahun sudah berbelas kali menjalani pembedahan untuk rawatan komplikasi melecur di bahagian kaki.

"Ibu saya (Serbiah Nain) pula sehingga kini terpaksa menahan rasa perit daripada kecederaan di bahagian belakang badan, tiada pembedahan boleh dilakukan kerana usianya mencecah 86 tahun.
"Dengan kecederaan di pelbagai bahagian badan, kami semua memakai pressure garment yang membantu proses penyembuhan luka terbakar selain menerima rawatan susulan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.
Ujar beliau, keluarganya turut menanggung kesan psikologi terutama cucu, sehingga rasa takut terdengar bunyi guruh atau mercun yang mengingatkan detik mengerikan kejadian tersebut.

Menurut Marizah, keceriaan sambutan Aidilfitri tahun ini dilakukan secara sederhana tambahan baharu sahaja menduduki Rumah Mesra Rakyat di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) sejak dua bulan lalu.
"Bayangan kejadian masih menghantui kami hinggakan kami bercadang untuk 'keluar' kawasan ini pada hari raya kedua nanti, tidak mampu rasanya mengenangkan kejadian umpama padang mahsyar dunia.
"Kami bercadang untuk luangkan masa bersama keluarga, bawa anak-anak dan cucu mungkin ke Genting Highlands, tempat yang sejuk.
"Saya percaya setiap yang berlaku ada hikmah dan perancangan terbaik daripada ALLAH dan kini kami cuba melangkah ke fasa seterusnya, anak-anak juga semakin tenang walaupun kehidupan berubah dan serba sederhana,” katanya.

Ringkasan AI
- Tragedi letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights pada hari kedua Syawal tahun lalu menimbulkan kesedihan penduduk terjejas
- Pesara guru, Marizah Omar menyatakan cucunya telah menjalani pembedahan berkali-kali akibat kecederaan melecur
- Ibu Marizah, Serbiah Nain, menderita kecederaan tanpa pembedahan akibat usia lanjut
- Keluarga Marizah mengalami kesan psikologi akibat tragedi, termasuk ketakutan terhadap bunyi kuat seperti guruh atau mercun
- Kelurga itu merayakan Aidilfitri secara sederhana dan merancang untuk menghabiskan masa di Genting Highlands sebagai usaha mengatasi trauma
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
