KPM sediakan slot pendidikan di saluran televisyen

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) telah bekerjasama memperkenalkan slot Program TV Pendidikan iaitu usaha tambahan kepada siaran EduwebTV yang pada ketika ini dilaksanakan secara web streaming.

KPM dalam satu kenyataan hari ini berkata, slot Program TV Pendidikan itu merupakan usaha untuk membolehkan murid mendapat akses kepada bahan pembelajaran melalui platform alternatif selain daripada pembelajaran dalam talian terutamanya semasa lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Slot tersebut akan mula bersiaran pada hari Isnin, 6 April 2020 menerusi saluran TV Okey iaitu salah satu daripada saluran RTM. Sebagai permulaan, ia akan disiarkan selama dua jam setiap hari sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.

“Waktu siaran adalah pada jam 9 hingga 10 pagi dan jam 1 hingga 2 petang. Jadual rancangan boleh didapati dengan melayari portal rasmi KPM di www.moe.gov.my atau di media sosial rasmi KPM iaitu Facebook, Instagram dan Twitter @KemPendidikan,” kata kenyataan itu lagi.

KPM berkata, melalui kerjasama itu, murid yang tidak mendapat capaian internet tidak akan ketinggalan dan masih boleh mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di rumah melalui televisyen.

“Slot ini boleh ditonton secara percuma menerusi saluran 110 MyFreeview TV. Selain daripada itu, siaran ini juga boleh ditonton menerusi saluran 146 di Astro dan Astro NJOI.

“KPM berharap usaha ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh murid, guru dan ibu bapa bagi memastikan proses pembelajaran murid dapat diteruskan dengan efektif dan menarik walaupun dalam keadaan yang mencabar sekarang,” kata kenyataan itu lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Sesi pembelajaran melalui TV pendidikan mulai minggu depan: KPM

Artikel Berkaitan: