Aidilfitri: Polis nasihat penduduk Sungai Golok guna laluan sah

Keadaan sungai yang cetek ini boleh membuka ruang kepada sesetengah pihak untuk menyeberang secara haram, terutama ketika musim perayaan. Foto fail Bernama
Keadaan sungai yang cetek ini boleh membuka ruang kepada sesetengah pihak untuk menyeberang secara haram, terutama ketika musim perayaan. Foto fail Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Polis menasihatkan penduduk yang tinggal di sepanjang Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand supaya menggunakan laluan sah sekiranya ingin menziarahi saudara-mara sempena Aidilfitri.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya mengambil serius perkara itu kerana wujud kemungkinan peningkatan pergerakan rentas sempadan secara tidak sah, lebih-lebih lagi dengan paras air Sungai Golok yang kini semakin cetek.

"Keadaan sungai yang cetek ini boleh membuka ruang kepada sesetengah pihak untuk menyeberang secara haram, terutama ketika musim perayaan. Saya menggesa orang ramai supaya tidak melanggar undang-undang dan sentiasa menggunakan laluan sah bagi mengelakkan tindakan tegas diambil,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Beliau berkata tumpuan penguatkuasaan dan pemantauan akan dipertingkatkan di kawasan panas yang sering menjadi laluan penduduk tempatan dan rakyat Thailand untuk menyeberang secara haram.

"Orang ramai diingatkan supaya menggunakan kemudahan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) yang sah seperti di Rantau Panjang, Pengkalan Kubor dan Bukit Bunga,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Rantau Panjang, Bakri Sulaiman, berkata kira-kira 50,000 pengembara dijangka menggunakan Kompleks ICQS Rantau Panjang dalam tempoh tiga hari sebelum dan tiga hari selepas Hari Raya Aidilfitri.

Katanya jumlah ini merangkumi pergerakan keluar masuk antara kedua-dua negara sepanjang tempoh perayaan berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Polis menasihatkan penduduk di sepanjang Sungai Golok guna laluan sah untuk ziarah Aidilfitri Paras air Sungai Golok yang cetek boleh bantu pergerakan tidak sah Penguatkuasaan dan pemantauan akan dipertingkatkan di kawasan panas Penduduk dan warga Thailand dinasihatkan gunakan ICQS sah seperti di Rantau Panjang, Pengkalan Kubor dan Bukit Bunga Kira-kira 50,000 pengembara dijangka gunakan Kompleks ICQS Rantau Panjang sekitar Hari Raya Aidilfitri

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!