Rumah Bangsa: Amanah tegur Hadi Awang, kiasan ‘hantu’ tidak wajar

KOTA BHARU – Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung gagasan Rumah Bangsa sebagai tidak wajar dan terkeluar daripada kerangka perbincangan politik yang rasional.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, beliau terkejut apabila unsur seperti ‘hantu’ dijadikan kiasan dalam menilai usaha yang bertujuan menyatupadukan masyarakat.
Menurutnya, pendekatan sedemikian tidak membantu meningkatkan kefahaman rakyat, malah boleh mengelirukan.
“Saya berpandangan perkara seperti itu tidak sepatutnya dibangkitkan dalam wacana politik.
“Ia tidak membantu membina pemikiran masyarakat yang matang,” katanya pada program moreh bersama media di sini pada Selasa.
Sehubungan itu, Khalid berpandangan penolakan terhadap gagasan Rumah Bangsa tidak berasas, memandangkan ia merupakan satu platform untuk mempertemukan parti-parti Melayu dan membuka ruang dialog.
“Saya hadir melihat sendiri perbincangan Rumah Bangsa sekadar ruang untuk bertemu dan berbincang dan tidak nampak apa-apa yang begitu membimbangkan,” ujarnya.
Menurutnya, kehadiran wakil Pas dalam pertemuan berkenaan menunjukkan keterbukaan awal, namun kenyataan susulan yang dikeluarkan pimpinan tertinggi parti itu dilihat bercanggah dengan semangat tersebut.
“Apabila ada usaha ke arah penyatuan, sepatutnya dinilai secara terbuka dan rasional, bukan ditolak dengan alasan yang tidak kukuh,” katanya.
Ringkasan AI
- Parti Amanah Negara menyifatkan kenyataan Presiden Pas berhubung gagasan Rumah Bangsa sebagai tidak wajar
- Khalid Abdul Samad terkejut dengan penggunaan kiasan 'hantu' dalam menilai usaha penyatupadukan masyarakat
- Menurut Khalid, pendekatan sedemikian tidak membantu meningkatkan kefahaman rakyat dan boleh mengelirukan
- Penolakan terhadap gagasan Rumah Bangsa dilihat tidak berasas kerana ia adalah platform untuk dialog antara parti-parti Melayu
- Wakil Pas hadir dalam perbincangan Rumah Bangsa menunjukkan keterbukaan awal, namun kenyataan susulan dari pimpinan parti bertentangan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

