Info palsu: 30 dijangkiti Covid-19 di Kampung Durian Burung

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Kesihatan Terengganu menafikan kenyataan yang tular di aplikasi WhatsApp kononnya terdapat 30 kes jangkitan Covid-19 di Kampung Durian Burung di sini yang didakwa berpunca daripada satu majlis tahlil.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Nor Azimi Yunus dalam satu kenyataan malam ini berkata sehingga hari ini, tiada kes Covid-19 yang dikesan berlaku di kampung tersebut dan berharap orang ramai segera berhenti menyebarkannya.

"Sehubungan itu, pihak kami menasihatkan orang ramai supaya merujuk kepada sumber maklumat sahih yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan tidak menularkan sebarang berita tidak benar yang boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

"Orang ramai juga diminta supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berjalan di samping mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, kerap mencuci tangan, etika batuk dan jarak sosial yang betul bagi mengawal penularan Covid-19," katanya.

Dalam mesej yang tular itu, kononnya 30 ahli keluarga terdekat kepada seorang pesakit Covid-19 perlu dikuarantin di Chendering di sini dan KKM akan mencari penduduk kampung yang menghadiri majlis tahlil tersebut. - Bernama

Artikel Berkaitan: