X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan bantu pelajar tamat pengajian di luar negara

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada sidang media di bangunan Perdana Putra hari ini. -Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan akan membantu pelajar Malaysia yang telah menamatkan pengajian di luar negara tetapi tidak dapat pulang ke Malaysia kerana sekatan yang dilaksanakan di negara tempat mereka berada sekarang.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan melalui penaja seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Pengajian Tinggi dan Petronas bersetuju menanggung pelajar-pelajar berkenaan.

“Jadi penaja-penaja ini akan menanggung tempat tinggal dan makan minum pelajar terlibat,” katanya di sini hari ini.

Mengulas mengenai kuarantin wajib yang dikenakan oleh kerajaan ke atas rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara, Ismail Sabri berkata, terdapat kira-kira 488 stesen kuarantin di seluruh negara telah digazetkan dan senarai lokasi tersebut boleh disemak di portal rasmi Jabatan Peguam Negara.

“Bagi penumpang Sabah dan Sarawak pula yang pulang dari luar negara dan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 atau mana-mana lapangan terbang di Semenanjung Malaysia, mereka akan dikuarantin sebaik tiba di negeri masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri menegaskan kerajaan memberi jaminan kebajikan pekerja asing dan pelarian yang berada di negara ini tidak akan dipinggirkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) dikuat kuasa.

Beliau berkata, kerajaan bersedia memberi bantuan antara lain dengan menguruskan soal bekalan makanan mereka.

"Semalam ada berita mengatakan pekerja Bangladesh tak ada makanan, kerajaan kita adalah kerajaan bertanggungjawab, sesiapa sahaja yang berada dalam negara kita pastinya akan dibantu.

"Pelarian juga sama. Layanan dia sama, kita takkan benarkan rakyat kita atau asing sekalipun untuk kelaparan sewaktu PKP ini dilaksanakan," katanya kepada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri berkenaan PKP di sini hari ini.

Bagaimanapun, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan mahu setiap kedutaan, terutama yang mempunyai rakyatnya bekerja di negara ini mengambil tanggungjawab memastikan mereka mendapat bantuan sewajarnya.

"Mereka perlu melapor kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara di peringkat daerah jika terdapat warga mereka di daerah-daerah dan jika berada di Kuala Lumpur mereka boleh terus berhubung Pusat Pengurusan Krisis di bawah kawal selia Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

"Jadi isu berkaitan warga asing perlu diambil tanggungjawab kedutaan masing-masing dan kita akan bantu selaraskan apa mereka perlukan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!