Zainul Rijal persoal kehadiran Timbalan Menteri bersama Arun di mahkamah

SHAH ALAM - Kehadiran Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran ke mahkamah bersama orang kena tuduh (OKT) dipersoal kerana kurang bersesuaian dengan etika perundangan.
Perkara itu dibangkitkan Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Zainul Rijal Abu Bakar susulan kehadiran Kulasegaran yang dilihat berada bersama aktivis, Arumugam Dorasamy ketika prosiding di Mahkamah Majistret Jawi.
Arumugam sebelum ini didakwa atas pertuduhan membuat kenyataan di media sosial dengan niat menyebabkan ketakutan kepada orang awam pada Mac tahun lalu.
Menurut Zainul Rijal, penglibatan anggota pentadbiran kanan kerajaan seperti itu dikhuatiri boleh menimbulkan persepsi awam mengenai kemungkinan wujud campur tangan dalam urusan kehakiman.
"Tindakan sedemikian seolah-olah memberi gambaran kepada Majistret bahawa OKT tidak bersalah, sedangkan belum dibicarakan.
"Ia juga mungkin memberi rasa kegusaran kepada Majistret," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mengikut pertuduhan, Arumugam, 56, didakwa membuat kenyataan dengan niat hendak menyebabkan kegentaran awam yang boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Kenyataan itu didakwa telah dilihat dan didengar oleh Nor Al Firdaus Nor Al Huda.
Tertuduh didakwa melakukan kenyataan itu dalam akaun media sosialnya, @arun_dorasamy di pusat beli-belah Ikea, Batu Kawan pada jam 3.45 petang, 12 Mac 2025.
Ringkasan AI
- Kehadiran M Kulasegaran di mahkamah bersama orang kena tuduh dipersoal
- Zainul Rijal Abu Bakar membangkitkan isu kesesuaian etika perundangan
- Arumugam Dorasamy didakwa atas pertuduhan membuat kenyataan di media sosial
- Kehadiran anggota kerajaan di mahkamah boleh timbulkan persepsi campur tangan dalam kehakiman
- Arumugam didakwa mengancam ketenteraman awam melalui media sosial
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
