Borang Lampiran A hanya tangguh bayaran desposit kes kritikal – Dzulkefly

PUTRAJAYA - Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan Borang Lampiran A di fasiliti kesihatan kerajaan digunakan hanya untuk kes kecemasan kritikal bagi membolehkan rawatan segera diberikan tanpa menunggu bayaran deposit, bukannya sebagai pengecualian bayaran kepada pesakit warga asing.
Beliau berkata borang berkenaan hanya memberikan penangguhan sementara bayaran deposit untuk membolehkan rawatan resusitasi dan penstabilan dilakukan segera melibatkan kes situasi hidup dan mati di Jabatan Kecemasan.
"Ini tidak bermaksud mereka dikecualikan daripada dikenakan sebarang bayaran. Apabila pesakit sudah stabil dan dimasukkan ke wad, proses pembayaran deposit tetap akan dibuat,” katanya kepada pemberita selepas menyertai Program Kembara bersama Cik Era di sini pada Ahad.
Dzulkelfy berkata demikian bagi mengulas kenyataan seorang pengguna media sosial yang mendakwa dirinya petugas kesihatan di fasiliti kesihatan kerajaan dan mendedahkan bahawa warga asing boleh mengaku tidak memiliki pasport bagi mengelak dikenakan bayaran ketika mendapatkan rawatan.
Beliau berkata, semua pesakit warga asing perlu membuat bayaran deposit sebelum dimasukkan ke wad iaitu RM1,400 bagi kes perubatan Kelas Tiga dan RM2,800 bagi kes pembedahan.
Dzulkefly berkata, pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) pula dikenakan bayaran 50 peratus daripada kadar deposit berkenaan.
Beliau berkata, bayaran deposit hanya dikecualikan kepada warga asing yang mempunyai perlindungan insurans seperti Skim Perlindungan Insurans Kesihatan Pekerja Asing (SPIKPA) dan Insurans Perubatan Pelarian (REMEDI).
"Jika pesakit tidak mempunyai insurans atau wang yang mencukupi, mereka akan diminta menghubungi waris seperti keluarga atau rakan untuk menyediakan jumlah deposit tersebut,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya memandang serius dakwaan tersebut dan menyatakan komitmen Kementerian Kesihatan (KKM) untuk melakukan siasatan bagi memastikan kesahihannya.
"Kita mesti menghormati mereka yang memberi maklumat dan kita juga mahu audit dilakukan, malah pemberi maklumat perlu dilindungi,” katanya.
Dzulkefly berkata beliau bersama Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Mahathar Abd Wahab dan Ketua Setiausaha KKM Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad akan berbincang dengan pengurusan tertinggi kementerian berhubung dakwaan itu. - Bernama
Ringkasan AI
- Borang Lampiran A hanya untuk kes kecemasan kritikal di fasiliti kesihatan kerajaan, bukan pengecualian bayaran warga asing
- Penangguhan bayaran deposit membolehkan rawatan resusitasi dan penstabilan kecemasan dilakukan segera
- Warga asing perlu bayar deposit sebelum dimasukkan ke wad, RM1,400 untuk perubatan dan RM2,800 untuk pembedahan
- Pemegang kad UNHCR dikenakan bayaran 50 peratus daripada deposit, pengecualian kepada yang mempunyai perlindungan insurans
- Kementerian Kesihatan komited melakukan siasatan terhadap dakwaan pembebasan bayaran kepada warga asing
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
