Malu, tak tahu mohon bantuan punca asnaf terpinggir

ALOR GAJAH - Malu dan tidak tahu proses permohonan antara punca golongan asnaf atau kurang berkemampuan tidak berdaftar dengan pusat zakat untuk menerima bantuan.
Pengerusi Global Peace Mission (GPM) Melaka, Mohd Fairus Ahmad berkata, semakan yang dilakukan di lapangan melalui program kebajikan komuniti dikenali Jejak Dhu’afa mendapati hanya 18 daripada 100 asnaf di Melaka bertindak mendaftar sebagai penerima bantuan zakat.
Menurutnya, situasi itu dilihat membimbangkan susulan masih terdapat ramai tercicir daripada sistem bantuan disediakan.
“Apabila kita semak dalam sistem Pusat Zakat, daripada 100 nama yang disantuni, hanya 18 orang sahaja berdaftar sebagai asnaf. Ini bermakna lebih 82 daripada mereka yang memerlukan bantuan tetapi tiada dalam sistem.
“Jika jumlah ini turut didapati dalam jumlah 900 orang, mungkin ada kira-kira 700 lagi yang memerlukan tapi belum berdaftar untuk mendapatkan bantuan,” katanya pada program Jejak Dhu’afa dan Iftar Kasih Ramadan pada Sabtu.

Pada program itu, sebanyak 900 keluarga asnaf di Melaka menerima sumbangan barangan keperluan asas bernilai kira-kira RM60 bagi setiap pek akan disalurkan melalui wakil komuniti setempat.
Tambah beliau, antara sebab lain permohonan kepada pusat zakat tidak dibuat juga kerana tidak sedar mereka sebenarnya layak menerima bantuan itu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, program Jejak Du’afa diwujudkan bagi membantu mengesan golongan asnaf terpinggir untuk mendapatkan bantuan kepada agensi berkaitan seperti Pusat Zakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).
Jelasnya, melalui program itu, seramai 50 petugas PIC dilantik di seluruh negeri bagi mengenal pasti keluarga yang memerlukan bantuan di kawasan masing-masing.
Program turut mendapatkan kerjasama dan sumbangan daripada Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Melaka (PEPIM) dan Yayasan Takwa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

