Niat iftar santai bertukar lucu, roti john ‘disamun’ kera

Tangkap layar video Tik Tok dikongsikan oleh @waniegaban1 pada Khamis yang memaparkan seekor kera mencuri roti john salah seorang sahabat mereka ketika iftar santai di Stadium Batu Kawan, Seberang Perai Selatan, baru-baru ini.
Tangkap layar video Tik Tok dikongsikan oleh @waniegaban1 pada Khamis yang memaparkan seekor kera mencuri roti john salah seorang sahabat mereka ketika iftar santai di Stadium Batu Kawan, Seberang Perai Selatan, baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM – Hasrat sekumpulan rakan untuk berbuka puasa secara santai di Stadium Batu Kawan, Seberang Perai Selatan bertukar menjadi detik mencuit hati apabila juadah mereka ‘disamun’ seekor kera.

Menerusi perkongsian video TikTok milik Norshawani Jamaluddin, 31, dia bersama beberapa rakan lain sedang menunggu waktu berbuka puasa di kawasan lapang selepas membeli pelbagai juadah di bazar Ramadan berhampiran.

Menurutnya, konsep iftar santai umpama berkelah itu dipilih bagi memberi pengalaman berbeza berbanding tahun sebelumnya yang biasa diadakan di restoran.

“Pada tahun-tahun sebelumnya kami selalu berbuka puasa bersama di kedai makan saja.

“Tahun ini memilih konsep iftar berbuka puasa sambil berkelah di Stadium Batu Kawan kerana kawasan agak lapang dan mempunyai pemandangan cantik,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Norshawani yang juga seorang peniaga berkata, suasana yang pada awalnya tenang bertukar kecoh apabila seekor kera tiba-tiba muncul dari arah belakang mereka.

Katanya, mereka menyangka haiwan berkenaan hanya melalui kawasan itu dan tidak akan mengganggu. 

Namun sangkaan itu meleset apabila kera berkenaan dengan pantas merampas roti john milik salah seorang rakannya yang dikenali sebagai Tini.

“Kami semua terkejut apabila tiba-tiba kera itu datang dari belakang dan terus merampas roti john milik kawan saya.

Artikel Berkaitan:

“Ia terus makan makanan itu tanpa menghiraukan kami,” ujarnya.

Norshawani berkata, meskipun terkejut, situasi kali pertama berlaku itu tetap mencetuskan gelak tawa dalam kalangan mereka.

“Rasa lucu apabila ingat semula kejadian itu. Apa pun ia jadi satu kenangan untuk kami semua,” katanya.

Ringkasan AI

  • Sekumpulan rakan berbuka puasa di Stadium Batu Kawan disamun seekor kera
  • Juadah berbuka puasa mereka dirampas kera ketika menunggu waktu berbuka
  • Konsep iftar santai diadakan di luar, berbeza dari tahun sebelumnya yang di restoran
  • Kera itu secara mengejut merampas roti john milik salah seorang dari mereka
  • Situasi itu mencetuskan gelak tawa walaupun pada mulanya terkejut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!