Individu cedera disamun empat lelaki

SEPANG – Sebuah keluarga menempuh detik mencemaskan apabila disamun sekumpulan lelaki dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Aman, Sungai Pelek, di sini pada awal pagi Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa yang merupakan lelaki berusia 35 tahun berada di rumah bersama ahli keluarganya sebelum didatangi empat suspek.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian samun bersenjata tersebut pada 13 Mac.
"Siasatan awal mendapati mangsa bersama keluarganya telah disamun oleh sekumpulan suspek dipercayai seramai empat orang yang bersenjatakan senjata.
"Mangsa yang merupakan lelaki warga tempatan berusia 35 tahun mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan akibat diserang oleh suspek,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.
"Keadaan mangsa dilaporkan stabil selepas menerima rawatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 394/397 Kanun Keseksaan," katanya.
Norhizam berkata, usaha mengesan dan menahan semua suspek sedang giat dijalankan oleh pihak polis.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang berita tidak benar berkaitan kejadian tersebut yang boleh mengganggu siasatan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Hussaini Helmee di talian 019-8966292 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.
Ringkasan AI
- Sebuah keluarga di Sepang disamun sekumpulan lelaki di rumah mereka di Taman Aman, Sungai Pelek, awal pagi Jumaat
- Mangsa, lelaki berusia 35 tahun, bersama ahli keluarganya disamun oleh empat suspek bersenjata
- Mangsa mengalami kecederaan dan mendapat rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban
- Kes disiasat di bawah Seksyen 394/397 Kanun Keseksaan
- Polis sedang mengesan dan menahan semua suspek, masyarakat diminta tidak menyebarkan berita tidak benar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

