Lelaki maut dalam kebakaran stor

JITRA – Seorang lelaki maut selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran sebuah stor penyimpanan khemah di Kampung Pelubang, di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang, mangsa berusia 37 tahun dilaporkan berada di dalam stor berkenaan sebelum api marak.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kedah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian 999 sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jitra bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, setibanya di lokasi, anggota mendapati kebakaran melibatkan sebuah stor penyimpanan khemah berkeluasan kira-kira 20 kaki x 60 kaki yang mengalami kemusnahan hampir 70 peratus.
“Mangsa dilaporkan terperangkap di dalam stor sebelum berjaya keluar dalam keadaan melecur, namun rebah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Kematian mangsa disahkan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia yang berada di lokasi.
Operasi pemadaman berjaya dikawal kira-kira jam 6.13 petang sebelum kerja-kerja pemeriksaan lanjut dijalankan bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki maut dalam kebakaran stor penyimpanan khemah di Kampung Pelubang, Jitra
- Mangsa berusia 37 tahun terperangkap dalam stor semasa kebakaran
- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kedah menerima panggilan kecemasan
- Stor penyimpanan khemah berkeluasan 20 kaki x 60 kaki musnah hampir 70 peratus
- Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas terperangkap dan melecur
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


