Mudahkan bantu daftar anak lorong

KUALA LUMPUR – Kerajaan menerusi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) disaran memberikan kelonggaran dalam beberapa aspek pengurusan melibatkan proses pendaftaran status anak-anak jalanan di lorong sekitar Chow Kit yang tidak mempunyai sijil kelahiran dan dokumen pengenalan diri.
Pengasas Food For Gelandangan (FFG), Mohd Azizan Zainal Abidin berkata, ia kerana kebanyakan kes berpunca daripada perkahwinan yang tidak didaftarkan atau tidak sah, termasuk kehamilan luar nikah.
Ujar beliau, keadaan itu menyebabkan proses pengesahan menjadi rumit sehingga menyukarkan pihak berkaitan membantu mendapatkan dokumen pengenalan diri yang sah.
“Dalam prosedur biasa, Jawi akan jalankan siasatan terlebih dahulu untuk mengesahkan status perkahwinan dan seterusnya membolehkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memproses dokumen berkaitan.
“Jadi bermula di peringkat Jawi, sistem pengurusan perlu diperkemaskan serta diberikan kelonggaran bagi kes-kes seperti ini supaya proses siasatan dapat dijalankan dengan lebih mudah.
“Selepas siasatan selesai, perkahwinan tersebut perlu disahkan. Apabila perkahwinan sudah disahkan, baru status anak yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dapat diproses,” katanya.
Menurut Mohd Azizan, selain kerjasama Jawi, proses pendaftaran dokumen melibatkan kanak-kanak tersebut di JPN juga perlu dipermudahkan.
Kata beliau, dokumen pengesahan daripada pihak Jawi sepatutnya boleh dijadikan asas bagi membolehkan JPN memproses status anak tersebut tanpa melalui prosedur yang terlalu panjang.
Menurutnya, kelonggaran dan garis masa yang dipercepatkan oleh Jawi dan JPM akan memudahkan segala urusan berkaitan dalam bantuan sewajarnya daripada pihak JKM, baik daripada bantuan kewangan JKM atau sumber baitulmal kepada isu keluarga dan kanak-kanak tersebut
“Habis semua urusan itu, saya percaya ia boleh menjawab segala permasalahan yang ada, dengan syarat perlu ada ruang kelonggaran daripada semua pemegang taruh untuk urusan kes sebegini,” ujarnya.
Sinar Harian pada Isnin mendedahkan isu kehidupan kanak-kanak tanpa sijil kelahiran dan kad pengenalan di lorong Chow Kit, Kuala Lumpur.
Ringkasan AI
- Kerajaan disaran berikan kelonggaran dalam pendaftaran status anak jalanan di Chow Kit tanpa dokumen pengenalan diri
- Kebanyakan kes anak jalanan tanpa dokumen disebabkan perkahwinan tidak sah atau tidak didaftarkan
- Proses pengesahan status perkahwinan oleh Jawi rumit dan perlu diperkemaskan
- Mohd Azizan mencadangkan dokumen pengesahan dari Jawi memudahkan JPN memproses status anak
- Peningkatan kerjasama antara Jawi, JPN, dan JKM diperlukan untuk memudahkan urusan pendaftaran dan bantuan 관심
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

