Memutuskan kitaran ‘anak halimunan’ Chow Kit

Laporan muka depan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

ISU kanak-kanak jalanan tanpa dokumen pengenalan diri di lorong sekitar Chow Kit bukan sekadar persoalan kebajikan, sebaliknya menuntut pendekatan penyelesaian menyeluruh melibatkan pelbagai agensi kerajaan serta kerjasama masyarakat.

Ketiadaan sijil kelahiran dan kad pengenalan menyebabkan golongan ini terkeluar sepenuhnya daripada sistem pendidikan dan perlindungan sosial, sekali gus menjadikan mereka kelompok yang sukar dikesan dalam sistem pentadbiran negara.

Langkah mempercepatkan proses dokumentasi perlu dijadikan keutamaan melalui kerjasama antara aktivis masyarakat dengan Jabatan Pendaftaran Negara bagi memastikan setiap kanak-kanak yang lahir mempunyai rekod kewujudan rasmi.

Pendekatan turun padang secara berkala oleh pegawai pendaftaran juga boleh membantu mengenal pasti kes yang berdepan kekangan dokumentasi, khususnya dalam kalangan keluarga jalanan yang kurang akses kepada maklumat atau prosedur pendaftaran.

Pada masa sama, usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa mengenai kepentingan pendaftaran kelahiran perlu diperluaskan melalui kempen komuniti yang lebih tersusun dan mudah difahami.

Program advokasi di peringkat komuniti boleh dilaksanakan dengan kerjasama badan bukan kerajaan serta sukarelawan tempatan bagi memberi penerangan mengenai hak setiap anak untuk mendapatkan sijil kelahiran tanpa mengira status perkahwinan ibu bapa.

Selain aspek dokumentasi, faktor kemiskinan bandar yang membelenggu keluarga jalanan turut memerlukan perhatian serius melalui pendekatan pembangunan sosial yang lebih inklusif.

Kawasan kediaman sempit dan sesak mendorong kanak-kanak menghabiskan sebahagian besar masa mereka di lorong-lorong sekitar, sekali gus meningkatkan risiko terdedah kepada pengaruh negatif.

Sehubungan itu, penyediaan ruang komuniti selamat seperti pusat aktiviti kanak-kanak atau premis bimbingan pembelajaran boleh membantu mengalihkan tumpuan mereka kepada aktiviti lebih bermanfaat.

Artikel Berkaitan:

Inisiatif pendidikan tidak formal juga boleh diperkasakan sebagai jambatan awal sebelum kanak-kanak ini diserap semula ke dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Dalam masa sama, penglibatan agensi tempatan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur penting bagi memperkukuh pemantauan serta memastikan kawasan berisiko tinggi tidak terus menjadi tempat lahirnya generasi tercicir.

Pendekatan kebajikan yang lebih bersepadu, termasuk bantuan makanan, sokongan psikososial serta bimbingan keluarga, juga boleh membantu memperbaiki kualiti kehidupan golongan ini.

Kerjasama antara agensi kerajaan, aktivis masyarakat dan badan bukan kerajaan dilihat sebagai kunci utama dalam memastikan penyelesaian yang lebih mampan dapat dicapai.

Pada akhirnya, isu ‘anak halimunan’ bukan sekadar soal dokumentasi, tetapi berkait rapat dengan hak asasi, maruah dan masa depan generasi yang lahir dalam kitaran kemiskinan bandar.

Justeru, tindakan proaktif dan berterusan amat diperlukan agar kanak-kanak ini tidak terus terpinggir, sebaliknya diberikan peluang untuk membina kehidupan yang lebih bermakna dalam masyarakat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!