KKKB peneraju latihan EV, teknologi automotif masa depan

Peserta kursus menguji sistem voltan tinggi yang merupakan salah satu subjek yang terdapat di Kolej Komuniti Kepala Batas.
Peserta kursus menguji sistem voltan tinggi yang merupakan salah satu subjek yang terdapat di Kolej Komuniti Kepala Batas.
A
A
A

KEPALA BATAS - Dalam era peralihan industri automotif ke arah mobiliti elektrik dan teknologi rendah karbon, Kolej Komuniti Kepala Batas (KKKB), Pulau Pinang terus memperkukuh peranannya sebagai institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang progresif serta responsif terhadap keperluan semasa industri.

Melalui penubuhan Centre of Advanced Automotive Training (CoAT), KKKB kini diiktiraf sebagai antara pusat latihan termaju dalam bidang kenderaan hibrid dan elektrik (EV) di Malaysia.

Pengarah KKKB, Shuhaimi Samanol berkata, transformasi teknologi automotif global menuntut pendekatan pendidikan yang lebih dinamik dan berpaksikan keperluan industri.

Menurutnya, institusi TVET tidak lagi boleh beroperasi secara konvensional, sebaliknya perlu bergerak selari dengan perkembangan teknologi terkini.

“Peralihan kepada kenderaan elektrik adalah realiti yang sedang berlaku. KKKB mengambil langkah proaktif dengan memperkukuh latihan EV melalui CoAT bagi memastikan tenaga kerja negara bersedia menghadapi perubahan ini secara profesional dan selamat,” katanya.

SHUHAIMI
SHUHAIMI

Beliau berkata, CoAT merupakan pusat latihan automotif berteknologi tinggi yang memfokuskan pembangunan kemahiran dalam bidang Hybrid Electric Vehicle (HEV) dan Battery Electric Vehicle (BEV).

Tambahnya, pusat berkenaan juga merupakan pusat latihan bertauliah kepada Institute of the Motor Industry (IMI), United Kingdom yang menawarkan pensijilan EV Tahap 1 hingga Tahap 4 yang diiktiraf di peringkat global.

Artikel Berkaitan:

Sejak ditubuhkan pada tahun 2014, lebih 7,000 penyertaan daripada peserta tempatan dan antarabangsa telah mengikuti latihan di CoAT, melibatkan tenaga kerja industri, tenaga pengajar TVET serta penyelidik.

Antara tenaga pengajar bertauliah IMI (UK) di pusat berkenaan ialah Mohd Fikri Azri Mat Saad dan Zaimi Zainol yang mempunyai pengalaman luas dalam latihan penyelenggaraan, prosedur keselamatan serta diagnosis sistem EV.

Selain melatih pelajar sepenuh masa, mereka turut memberikan latihan profesional kepada juruteknik bengkel, syarikat automotif serta agensi seperti Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

MOHD FIKRI AZRI
MOHD FIKRI AZRI

Latihan tersebut memberi penekanan khusus kepada aspek keselamatan sistem voltan tinggi serta prosedur kecemasan melibatkan kenderaan elektrik.

Menurut Mohd Fikri Azri, latihan khusus amat kritikal kerana sistem EV beroperasi pada tahap voltan tinggi dan memerlukan pematuhan prosedur keselamatan yang ketat.

“Tanpa pengetahuan dan kemahiran yang betul, risiko kemalangan atau kerosakan sistem boleh berlaku ketika proses pemeriksaan atau pembaikan. Oleh itu setiap juruteknik perlu memahami prosedur keselamatan, teknik diagnosis yang tepat serta langkah kecemasan sekiranya berlaku insiden melibatkan sistem bateri atau komponen elektrik utama,” katanya.

Sementara itu, Zaimi berkata permintaan terhadap tenaga kerja bertauliah dalam bidang EV semakin meningkat selaras pertumbuhan pasaran kenderaan elektrik di Malaysia.

ZAIMI
ZAIMI

Menurutnya, banyak syarikat dan bengkel kini mula beralih kepada teknologi EV, namun mereka memerlukan juruteknik yang benar-benar terlatih serta memahami sistem voltan tinggi dan teknologi bateri moden.

“Latihan yang sistematik dan pensijilan profesional amat penting bagi memastikan tenaga kerja tempatan bersedia memenuhi keperluan industri serta mampu menyokong ekosistem mobiliti elektrik yang semakin berkembang di negara ini,” jelasnya.

Fasiliti bertaraf industri

Bagi menyokong latihan komprehensif, CoAT dilengkapi dengan kenderaan EV sebenar seperti Tesla Model Y, BYD Seal Performance dan Renault Zoe.

Selain itu, pusat latihan tersebut turut mempunyai simulator EV model BYD Atto 3 serta pelbagai peralatan diagnostik automotif terkini.

Kemudahan lengkap ini menjadikan CoAT antara pusat latihan EV paling aktif dalam ekosistem TVET negara.

Ts. Fikri sedang menerangkan berkenaan komponen voltan tinggi dalam BYD Atto 3 kepada para pelajar yang mengambil kursus berkenaan.
Ts. Fikri sedang menerangkan berkenaan komponen voltan tinggi dalam BYD Atto 3 kepada para pelajar yang mengambil kursus berkenaan.

Empat program sepenuh masa

Selain kepakaran dalam bidang EV, KKKB turut menawarkan empat program sepenuh masa iaitu Sijil Animasi 2D (SDD), Sijil Teknologi Senibina (STS), Sijil Teknologi Pembuatan (SMN) dan Sijil Teknologi Automotif (SAU).

Program Sijil Teknologi Automotif menjadi platform utama pembangunan bakat automotif sebelum pelajar memperluaskan kepakaran dalam bidang EV melalui CoAT.

Pendekatan ini memastikan kesinambungan latihan daripada peringkat asas sehingga ke tahap profesional dan pensijilan antarabangsa.

Dalam masa sama, KKKB turut aktif melaksanakan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) bagi menyediakan peluang peningkatan kemahiran kepada komuniti dan industri.

Melalui program ini, pekerja industri boleh mengikuti kursus jangka pendek seperti keselamatan EV, penyelenggaraan automotif serta kursus teknikal khusus tanpa perlu meninggalkan pekerjaan sepenuh masa.

Inisiatif tersebut dilihat menyokong agenda nasional dalam aspek reskilling dan upskilling tenaga kerja selaras perkembangan Revolusi Industri 4.0.

Menjelang 2027, CoAT merancang memperluaskan latihan dan pensijilan antarabangsa dalam bidang Advanced Driver Assistance Systems (ADAS).

KKKB menyasarkan untuk menjadi antara institusi terawal di Malaysia yang menawarkan pensijilan IMI dalam bidang ADAS sehingga tahap 3 sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju latihan teknologi automotif masa depan.

Dengan kepimpinan strategik, tenaga pengajar profesional serta fasiliti bertaraf industri, KKKB terus memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan ekosistem mobiliti elektrik negara serta melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang bersedia menghadapi cabaran industri automotif global

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!