Felda dalam agenda: Catatan seorang anak peneroka

SAYA masih ingat jalan tanah merah itu. Setiap kali hujan, tayar motosikal ayah mengukir jejak panjang di permukaannya, seolah-olah menulis kisah pulang seorang peneroka di atas tanah yang belum sempat mengeras.
Bila matahari memacak tinggi, debunya bangkit perlahan, mewarnai daun-daun di tepi jalan dan kadang-kadang hinggap juga pada baju sekolah kami yang sudah pudar warnanya yang seakan menjadi syarat kehidupan Felda pada tubuh anak-anak yang membesar di situ.
Di situlah sebenarnya cerita Felda bermula bagi ramai keluarga seperti keluarga saya. Bukan di bilik mesyuarat, bukan di laporan ekonomi, tetapi di jalan kecil yang menghubungkan rumah peneroka dengan ladang yang terbentang jauh.
Apabila Perdana Menteri pada 5 Mac yang lalu menegaskan bahawa Felda tidak boleh dipinggirkan daripada agenda pembangunan negara, bagi saya kenyataan itu bukan sekadar ayat dasar.
Ia terasa seperti satu pengakuan bahawa cerita yang bermula di jalan tanah merah itu masih mempunyai tempat dalam naratif besar sebuah negara bernama Malaysia.
Kerana Felda tidak pernah sekadar ladang
Bagi generasi pertama, Felda adalah keberanian meninggalkan kampung halaman. Mereka datang (berhijrah) ke tanah rancangan dengan harapan yang sangat sederhana. Sebuah rumah, sebidang tanah, dan masa depan yang sedikit lebih baik untuk anak-anak mereka.
Mereka menebas hutan, menanam getah kemudian sawit. Mereka membina sekolah, membina masjid, membina jalan kecil yang akhirnya menghubungkan kawasan rancangan dengan dunia luar.
Perlahan-lahan, sebuah komuniti lahir
Di situlah generasi kedua seperti saya membesar. Kami membesar dengan bunyi motosikal ayah yang pulang dari kebun, dengan cerita harga getah yang naik turun dan kemudian bertukar kepada sawit. Hingga kini masih ada 7093 peneroka yang mengusahakan getah. Kami membesar dalam janji dan harapan.
Ingatan Tun Abdul Razak bahawa Felda ini adalah “tanah untuk mereka yang tiada tanah, kerja untuk mereka yang tiada pekerjaan, tanah yang baik untuk mereka yang baik” kami dengar berulang dalam siri ucapan yang sering membakar semangat sekeluarga.
Mungkin itu sebabnya ayah dan ibu kami memulakan pagi jauh lebih awal dari mereka di bandar.

Felda menjadi tangga mobiliti sosial yang sangat nyata
Hari ini, terdapat kira-kira 112,638 keluarga peneroka yang tinggal di 317 kawasan rancangan Felda di seluruh Malaysia. Jika dihitung bersama lapis generasi yang telah mencapai generasi kelima, komuniti Felda melibatkan hampir tiga juta rakyat Malaysia.
Ia bukan sekadar statistik pentadbiran. Ia adalah jaringan sosial yang membentuk sebahagian besar wajah luar bandar negara.
Dari sudut ekonomi pula, ladang-ladang yang berkait dengan ekosistem Kumpulan Felda merangkumi lebih 900,000 hektar tanah perladangan, sebahagian besarnya kelapa sawit.
Industri sawit sendiri menyumbang sekitar 3 hingga 4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, dan komuniti Felda merupakan antara penyumbang penting kepada rantaian nilai komoditi tersebut daripada pengeluaran buah tandan segar hingga kepada pemprosesan minyak sawit.
Namun angka-angka ini hanya menceritakan sebahagian kecil daripada kisah sebenar.
Dalam kajian pembangunan luar bandar, Felda sering disebut sebagai salah satu contoh paling berjaya dalam sejarah pembangunan tanah moden.
Ahli ekonomi pembangunan seperti Jeffrey Sachs pernah menekankan bahawa mobiliti sosial di negara membangun sering bergantung kepada akses kepada tanah, pendidikan dan infrastruktur. Felda secara praktikal menggabungkan ketiga-tiga elemen itu dalam satu ekosistem pembangunan.
Sebab itu banyak negara membangun pernah datang mempelajari model ini.
Di banyak kawasan rancangan, perubahan hidup berlaku dalam satu generasi sahaja. Anak kepada seorang peneroka yang pernah menoreh getah kini boleh menjadi graduan universiti, doktor, jurutera atau pegawai profesional.
Fenomena ini bukan sekadar cerita individu. Ia adalah contoh bagaimana dasar pembangunan boleh mengubah struktur sosial sebuah masyarakat.
Namun seperti semua institusi yang telah lama wujud, Felda juga berada dalam proses perubahan.
Harga komoditi global tidak lagi stabil seperti dahulu. Industri sawit berdepan tekanan geopolitik dan isu kelestarian. Dalam masa yang sama, generasi muda Felda mempunyai aspirasi yang jauh berbeza daripada generasi ibu bapa mereka.
Menurut beberapa kajian sosioekonomi luar bandar, semakin ramai anak peneroka memilih untuk bekerja di sektor perkhidmatan, teknologi atau keusahawanan di bandar.
Ini menunjukkan satu realiti baharu bahawa Felda hari ini bukan hanya komuniti pertanian, tetapi juga komuniti diaspora. Namun akar mereka tetap di kawasan rancangan
Sebab itu apabila Perdana Menteri menegaskan bahawa Felda mesti terus berada dalam arus pembangunan negara, mesej itu sebenarnya membawa implikasi dasar yang penting.
Kawasan rancangan tidak boleh lagi dilihat hanya sebagai kawasan agraria yang bergantung kepada komoditi.
Ia perlu berkembang sebagai ekosistem ekonomi desa yang lebih pelbagai. Ini bermakna pembangunan Felda pada masa hadapan perlu merangkumi pendidikan berkualiti, keusahawanan desa, teknologi pertanian pintar, ekonomi digital serta industri hiliran yang memberi nilai tambah kepada komoditi.
Dalam konteks ini, Felda sebenarnya mempunyai kelebihan yang jarang dimiliki oleh banyak komuniti luar bandar lain iaitu struktur sosial yang sudah terbina dengan kukuh.
Kawasan rancangan mempunyai sekolah, rangkaian jalan, organisasi komuniti, koperasi dan institusi tempatan yang boleh menjadi asas kepada transformasi ekonomi desa.
Persoalan masa depan Felda bukan lagi sekadar bagaimana meningkatkan hasil ladang.
Persoalannya ialah bagaimana komuniti yang pernah mengubah sejarah pembangunan luar bandar Malaysia ini boleh sekali lagi menjadi model kepada ekonomi desa abad ke-21.
Sebagai anak peneroka, saya sering melihat Felda sebagai sebuah cerita yang belum selesai. Cerita tentang generasi pertama yang datang dengan keberanian luar biasa.
Cerita tentang generasi kedua yang cuba mencari tempat mereka di padang permainan yang lebih luas. Juga cerita tentang generasi ketiga yang sedang membesar dalam era yang sangat berbeza.
Dalam setiap rumah peneroka, ada kisah yang hampir sama. Kisah tentang ayah yang keluar ke kebun sebelum matahari terbit. Kisah tentang ibu yang memastikan anak-anak terus bersekolah walaupun hidup sederhana.
Kisah tentang harapan
Kenyataan Perdana Menteri itu, bagi saya, adalah peringatan bahawa harapan itu masih penting dalam cerita negara ini.
Kerana pembangunan Malaysia tidak pernah hanya tentang menara kaca di bandar. Ia juga tentang rumah kecil di tanah rancangan yang suatu ketika dahulu dibina dengan tangan sendiri oleh seorang peneroka yang percaya bahawa masa depan anak-anaknya akan lebih baik.
Cerita itu masih berjalan
Selagi Felda kekal dalam agenda negara, jalan tanah merah yang pernah saya nikmati debunya itu tidak akan terhenti sekadar kenangan.
Ia akan terus memanjang, melintasi komuniti, perladangan dan kepercayaan sebagai jalan yang membawa harapan generasi peneroka menuju masa hadapan.
*Syirfan Indra Mitra Surya Hussin, anak jati Felda Lui Timur, menjadi penyelidik dalam bidang media dan komunikasi, dengan kepakaran yang memfokuskan kepada kewartawanan baharu, komunikasi strategik dan industri kreatif
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
