Boling padang Malaysia tarik tumpuan dunia

Di pentas boling padang dunia, Malaysia bukan nama kecil kerana atlet negara telah membuktikan kemampuan bersaing di kejohanan bertaraf antarabangsa dan mencipta pencapaian yang meletakkan Malaysia sebaris dengan negara yang menguasai sukan itu.
Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia, Datuk Awalan Abdul Aziz berkata, boling padang Malaysia sedang berkembang dari segi prestasi dan penyertaan.
“Keutamaan kami ialah memperluas pangkalan bakat melalui sekolah dan komuniti, sambil memastikan atlet negara terus mendapat pendedahan antarabangsa yang berkualiti sebagai persediaan menuju Sukan Komanwel Glasgow 2026,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau berkata, di sinilah peranan Yayasan Sime Darby (YSD) menjadi pemangkin melalui program yang dilaksanakan bersama Persekutuan Lawn Bowls Malaysia.
YSD menyokong pembangunan atlet wanita kebangsaan melalui pendedahan antarabangsa, dan memperkenalkan sukan ini di sekolah melalui inisiatif Jack to School, yang memastikan murid dan guru menerima latihan berstruktur serta akses kepada kemudahan asas sukan.

Komitmen YSD dalam membangunkan sukan boling padang juga bukan baharu, antara 2009 hingga 2015, YSD telah menyalurkan RM2.9 juta bagi menyokong pelbagai kejohanan dalam dan luar negara boling padang.
Sementara itu, Pengerusi YSD, Tunku Tan Sri Imran Almarhum Tuanku Ja’afar berkata, sukan boling padang bukan sahaja membina disiplin, fokus dan ketahanan mental, malah ia juga berfungsi sebagai platform penting untuk memupuk bakat dan kepimpinan dalam kalangan generasi muda.
“Dengan memperkukuh akses kepada sukan ini di peringkat sekolah, kita membuka peluang kepada para pelajar untuk membina keyakinan, sahsiah serta potensi sebenar mereka, sekali gus membantu mereka berkembang dan menuju masa depan yang lebih cerah.

“Setakat ini, inisiatif Jack to School telah menunjukkan impak yang positif di 17 buah sekolah, melibatkan 220 pelajar dan 10 orang guru terlatih. Kami juga telah menyediakan empat set short mats peralatan asas boling padang untuk sekolah bagi memastikan latihan dapat diteruskan secara mampan dan teratur,” katanya.
Pada masa yang sama, penglibatan SD Guthrie Berhad turut memperluas akses kepada sukan boling padang melalui pelaksanaan program di sekolah, khususnya di sekolah terpilih berhampiran kawasan operasinya.
Bagi jaguh boling padang negara dan bekas pemain nombor satu dunia, Nor Farah Ain Abdullah berkata, boling padang bukan semata mata tentang teknik.
“Kita perlu bijak baca permainan dan bekerja sebagai satu pasukan.
“Untuk mereka yang berminat, jangan tunggu sampai hebat. Datang dan cuba, satu balingan, minat itu boleh menjadi permulaan kejayaan,” kata Nor Farah Ain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
