Rakan tak sedap hati Tajul Afif gagal dihubungi, terkejut jumpa jasad

JERTIH – Seorang pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Besut ditemukan meninggal dunia di rumah sewanya di Kampung Gelam Emas di sini pagi tadi selepas rakan sekerjanya bertindak mencarinya kerana tidak hadir bekerja sejak semalam.
Rakan baik arwah, Dr Muhammad Hailmi Sajeli, 48, berkata, dia mengajak Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Fakulti Biosumber dan Industri Makanan (FBIM), Dr Zarizal Suhaili untuk mencari Tajul Afif Abdullah, 49, selepas berasa tidak sedap hati apabila menyedari lelaki itu tidak datang bekerja.
“Apabila sampai, kami dapati pintu dan tingkap rumah tertutup serta berkunci dari dalam selain terhidu bau busuk.
“Kami semakin tidak sedap hati kerana motosikal arwah ada di belakang rumah dan melihat air paip keluar dari rumah ke longkang. Bau busuk semakin kuat selepas membuka tingkap,” katanya kepada pemberita di Hospital Besut.

Muhammad Hailmi berkata, kali terakhir arwah hadir bekerja adalah pada Khamis lalu sebelum cuti hujung minggu dan cuti ganti Nuzul Quran pada Ahad, selain tidak memberi respons dalam kumpulan WhatsApp selepas waktu bekerja hari yang sama.
Menurutnya, Tajul Afif yang masih bujang pernah menyuarakan hasrat enggan berkahwin kerana mahu menyara ibunya yang menghidap strok.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Mohd Rozaime Ab Rahim berkata, mangsa ditemukan pada 9.38 pagi selepas dua rakannya menghubungi polis kerana menghidu bau busuk dari luar rumah.
“Bomba dipanggil untuk membuka pintu rumah kerana ia berkunci dari dalam. Pensyarah itu ditemukan di tandas di bilik utama sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan keadaan mayat, lelaki itu dipercayai meninggal dunia lebih 24 jam sebelum ditemukan.
Menurutnya, siasatan awal polis mendapati kematian mangsa yang mempunyai sejarah penyakit jantung itu tidak mempunyai unsur jenayah. - Bernama
Ringkasan AI
- Seorang pensyarah UniSZA Kampus Besut ditemukan meninggal di rumah sewa di Kampung Gelam Emas
- Rakan sekerja mula mencari kerana pensyarah tersebut tidak hadir bekerja sejak semalam
- Tingkap dan pintu rumah terkunci dari dalam, bau busuk tercium, motor arwah ditemukan di belakang rumah
- Kali terakhir hadir bekerja adalah pada Khamis sebelum cuti hujung minggu dan cuti ganti Nuzul Quran
- Pensyarah yang meninggal mempunyai sejarah penyakit jantung dan kematian dianggap tidak melibatkan unsur jenayah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
