[VIDEO] 'Saya tak maafkan dan akan tuntut keadilan' - Luah bapa bayi maut dipercayai didera

MARANG – Kegembiraan seorang bapa untuk menyambut lebaran bersama anak sulungnya bertukar menjadi tragedi memilukan apabila bayi lelaki berusia empat bulan itu maut dipercayai akibat didera di sebuah pusat jagaan.
Mohd Syafaeez Mat Liki, 35, berkata, dia sama sekali tidak menyangka panggilan video bersama anaknya, Hayl Haarith, pada malam sebelum kejadian adalah yang terakhir sebelum mereka berpisah buat selama-lamanya.
Menurutnya, pada malam sebelum kejadian, anaknya kelihatan ceria sebelum isterinya, Ummu Habibah Wahab, 30, masuk bertugas sebagai jururawat.

Bagaimanapun katanya, suasana hiba menyelubungi apabila dia dikejutkan dengan panggilan telefon daripada pihak taska kira-kira jam 4 pagi yang memaklumkan anaknya lemas ketika tidur.
Berita duka itu kemudiannya disahkan oleh isterinya sekitar jam 5.40 pagi yang memaklumkan bahawa bayi mereka sudah meninggal dunia.
"Mulanya saya ingat kematian biasa dan tiada unsur mencurigakan. Tetapi selepas bedah siasat, terdapat beberapa kesan kecederaan yang mencurigakan di bahagian kepala, mata, hidung dan bahagian kanan muka.

"Selain itu, terdapat luka pada kulit kepala yang seolah-olah terkena hentakan objek tumpul," katanya ketika ditemui di tanah perkuburan di sini pada Selasa.
Mohd Syafaeez yang bekerja sebagai peniaga di Terengganu menegaskan bahawa dia tidak akan sesekali memaafkan individu yang bertanggungjawab atas kematian anaknya itu.
"Saya sama sekali tidak akan memaafkan perbuatan itu kerana ia tidak berperikemanusiaan dan saya berikrar akan menuntut keadilan agar nasib sama tidak menimpa keluarga lain," luahnya.

Sementara itu, dia turut menyatakan rasa terkilan kerana tidak sempat membawa anak dan isterinya membeli pakaian baharu bagi menyambut Aidilfitri nanti.
"Saya rasa sedih dan terkilan sebab hasrat untuk membeli pakaian raya bersama-sama tidak kesampaian. Saya pasrah atas apa yang berlaku," katanya.
Jenazah Hayl Haarith selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kelulut dan Rhu Redang kira-kira jam 10 pagi pada Selasa.

Sebelum ini media melaporkan seorang bayi meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di sebuah pusat jagaan kanak-kanak 24 jam yang terletak dalam kawasan Hospital Seberang Jaya di Pulau Pinang.
Kes tersebut kini dalam siasatan pihak berkuasa selepas keluarga bayi berkenaan mendakwa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari pusat jagaan itu menunjukkan terdapat unsur penderaan terhadap mangsa.
Ringkasan AI
- Kegembiraan bapa bertukar tragedi apabila bayi lelaki empat bulan maut didera di pusat jagaan
- Anak maut dipercayai lemas ketika tidur, disahkan meninggal dunia jam 5.40 pagi oleh isterinya
- Bedah siasat mendapati kesan kecederaan dan luka pada kepala, mata, dan muka yang mencurigakan
- Mohd Syafaeez tidak akan memaafkan dan berikrar menuntut keadilan atas kematian anaknya
- Jenazah Hayl Haarith dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kelulut dan Rhu Redang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

