Pahala bela kucing jangan jadi dosa

Akta Kerajaan Tempatan 1976 meletakkan gangguan haiwan (seperti najis dan bau) di bawah kategori kacau ganggu awam. Gambar kecil: Saifullah Ahmad
Akta Kerajaan Tempatan 1976 meletakkan gangguan haiwan (seperti najis dan bau) di bawah kategori kacau ganggu awam. Gambar kecil: Saifullah Ahmad
A
A
A

ISU kucing bertuan yang dibiarkan merayau serta populasi kucing jalanan tidak terkawal kini bukan sekadar perbalahan kecil di pagar rumah, malah telah berkembang menjadi krisis sosial dalam komuniti bandar di Malaysia.

Di sebalik kecomelan haiwan ini, terselindung konflik melibatkan pelanggaran undang-undang, pengabaian adab berjiran dan risiko kesihatan awam yang serius.

​Dari sudut undang-undang, Malaysia mempunyai kerangka yang jelas namun sering dipandang remeh. Akta Kerajaan Tempatan 1976 meletakkan gangguan haiwan (seperti najis dan bau) di bawah kategori kacau ganggu awam.

Pemilik yang membiarkan kucing mereka menceroboh harta benda jiran sebenarnya terdedah kepada kompaun sehingga RM1,000 oleh pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Akta Kebajikan Haiwan 2015 juga turut menekankan bahawa kegagalan mengawasi haiwan dengan munasabah adalah satu kesalahan.

​Namun, realitinya penguatkuasaan sering kali sukar dilakukan kerana sifat kucing yang sukar 'dikurung' secara tradisinya di Malaysia.

Berbeza dengan Australia yang melaksanakan Cat Curfew iaitu perintah berkurung kucing), budaya di Malaysia masih menganggap membiarkan kucing merayau sebagai perkara biasa tanpa menyedari ia mencabuli hak privasi jiran.

Jadi tidak hairanlah jika ada jiran naik angin dalam kumpulan WhatsApp taman perumahan sebab kawasan rumah mereka ada longgokan najis haiwan yang mereka tak bela.

Malah ada yang sanggup buang kucing jiran ke lokasi lain sebab tak tahan nak menanggung stres dek perangai haiwan jinak itu.

Artikel Berkaitan:

Dari perspektif Islam pula memelihara kucing dianggap sunnah dan jalan mendapat pahala namun sudut pandang agama sering kali disalahtafsirkan.

Dalam satu hadis riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda bahawa tidak akan masuk syurga, orang yang membuat jirannya tidak merasa aman daripada gangguannya (bawaiq).

​Prinsip Fiqh La darara wa la dirar (tiada mudarat dan tidak boleh memudaratkan orang lain) menjadi kayu ukur utama iaitu menjaga kebajikan kucing adalah ihsan tetapi membiarkan najis kucing menyakiti hati jiran adalah dosa yang boleh menghapuskan pahala kebaikan tersebut.

Justeru, amalan memberi makan kucing jalanan tanpa menguruskan sisa buangan mereka adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab dari sudut syarak kerana ia mendatangkan kemudaratan kepada orang lain.

​Dari dimensi kesihatan pula, isu ini bukan sekadar bau busuk. Kucing yang tidak divaksin dan merayau bebas adalah vektor penyakit zoonosis seperti dikongsikan Public Health Malaysia melalui laman sosial mereka pada 8 Februari lalu.

Antara yang paling membimbangkan di Malaysia kini adalah serangan kulat sporotrichosis (Spora) yang boleh menyebabkan luka kronik pada manusia.

Selain itu parasit toxoplasma gondii dalam najis kucing merupakan ancaman besar kepada wanita hamil kerana risiko keguguran atau kecacatan janin.

Penyelesaian isu ini memerlukan anjakan paradigma dengan pemilik kucing perlu beralih kepada konsep indoor cat (kucing dalam rumah) dan memastikan prosedur pemandulan dijalankan bagi mengawal populasi.

Kesimpulannya, keharmonian kejiranan tidak seharusnya dikorbankan demi minat peribadi.

Tanggungjawab pemilik bukan sekadar memberi makan tetapi memastikan kehadiran haiwan tersebut tidak menjadi bebanan fizikal mahupun mental kepada orang sekeliling.

Jadi pahala membela kucing tidak seharusnya dibayar dengan dosa menyakiti jiran!

*Saifullah Ahmad ialah wartawan Sinar Harian Perak

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!