Gagal henti Perang Iran, badan dunia seperti 'patung'

PEPERANGAN antara Amerika Syarikat (AS)–Israel dan Iran yang kini memasuki minggu kedua berkembang menjadi konflik bersenjata meluas di Asia Barat.
Situasi di rantau itu kian meruncing selepas hujan misil dan dron bertalu-talu ke negara Teluk serta gangguan di laluan maritim di Selat Hormuz yang dikhuatiri menjejaskan bekalan minyak dunia.
Badan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menggalas mandat utama sebagai penjaga keamanan sehingga kini gagal tampil untuk menghentikan perang ganas tersebut yang turut merebak ke Lubnan dan telah meragut ribuan nyawa orang awam.
Ia, sekali gus mendedahkan ketidakupayaan badan berkenaan untuk bertindak agresif menegakkan prinsip keadilan dan keamanan sejagat yang menjadi asas penubuhannya.
Badan tersebut seolah-olah terus memihak kepada kepentingan AS, sekali gus membuka ruang kepada Presiden Donald Trump untuk terus memporak-perandakan negara lain.
Keputusan membabi buta Trump melancarkan perang atas alasan keselamatan dan mahu menghalang program nuklear Iran juga tidak mendapat respons tegas Majlis Keselamatan PBB (UNSC).
Sebaliknya, setiap serangan balas dilancarkan Teheran sebagai tindakan mempertahankan tanah air mereka digambarkan sebagai provokasi yang menunjukkan naratif berat sebelah.
Resolusi UNSC mungkin sukar diluluskan kerana kuasa veto yang dipegang AS dan ia sering dibahaskan dengan bahasa diplomatik yang lemah serta tidak berjaya memberi tekanan secara praktikal kepada Washington dan sekutunya.
Iran pula dikritik secara berterusan oleh rangkaian media Barat dan komuniti antarabangsa apabila menggunakan peluru berpandu dan dron sebagai strategi pertahanan mereka.
Serangan dan tekanan terhadap Teheran sering disebut sebagai ‘langkah untuk keselamatan dunia’ manakala tindak balas Iran dipaparkan media Barat sebagai ancaman yang berisiko menggugat kestabilan serantau.

Keterbatasan mekanisme global
Sejak minggu lalu, gelombang kecaman negara-negara Teluk terhadap Teheran juga semakin meningkat dek hujan peluru berpandu bertubi-tubi menyasarkan pangkalan tentera AS.
Serangan itu bukan sekadar meningkatkan ketegangan dengan Washington, tetapi turut menjejaskan hubungan Teheran dengan negara-negara Teluk.
Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Qatar dan Bahrain menerusi kenyataan bersama mengecam gelombang serangan Iran sebagai pelanggaran kedaulatan dan undang‑undang antarabangsa di samping menegaskan hak mereka untuk mempertahankan wilayah mereka daripada sebarang ancaman luar.
Hal ini menunjukkan jurang yang semakin melebar antara Teheran dan negara-negara jirannya yang sebelum ini dibina atas dasar kepentingan perdagangan serta keselamatan serantau.
Selain itu, banyak negara termasuk blok Eropah hanya mengeluarkan kenyataan mengecam atau menggesa agar perang dihentikan tanpa ada langkah konkrit yang mampu menghentikan konflik secara efektif.
Ketidakmampuan mereka untuk bertindak menunjukkan keterbatasan mekanisme global bagi mengekang tindakan AS dan Israel yang secara terang-terangan melanggar undang-undang, sekali gus membiarkan ketegangan terus meningkat serta ancaman terhadap keselamatan serantau bertambah serius.
Situasi berkenaan sekali lagi membuktikan bahawa sistem antarabangsa tidak berdaya dan hanya berperanan seperti ‘patung’ apabila berdepan kepentingan geopolitik kuasa besar.
Selagi tindakan unilateral AS terus ‘bermaharajalela’ tanpa akauntabiliti yang jelas, keamanan serantau akan kekal rapuh dan ancaman konflik berskala lebih besar sukar dielakkan.
Keadaan itu bukan sahaja melemahkan fungsi badan antarabangsa malah memberi isyarat bahawa keamanan global sering bergantung kepada kehendak kuasa besar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

