Brigadier Jeneral Ahmad Vahidi teraju Iran di era perang

TEHERAN - Di tengah-tengah peperangan yang semakin sengit, Brigadier Jeneral, Ahmad Vahidi berdiri sebagai perancang strategi dan kuasa di sebalik Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) yang kini berjuang habis-habisan melawan musuh.
Vahidi, 68, telah mengambil alih kepimpinan pasukan tersebut pada waktu yang amat mencabar ketika Amerika Syarikat (AS) bersama sekutu kuatnya, Israel mengebom Iran bertalu-talu.
Tugas digalasnya amat berbahaya memandangkan pemimpin sebelum ini, Qassem Soleimani yang mengetuai pasukan elit Quds turut terkorban dalam serangan dron yang diarahkan Presiden Donald Trump pada 2020.
Pendahulunya, Mohammad Pakpour, gugur syahid semasa Operasi Epic Fury bermula 28 Februari lalu manakala pemimpin sebelum itu, Hossein Salami turut menjadi korban serangan Israel ketika perang 12 hari pada Jun 2025.
Perubahan kepimpinan IRGC menekankan betapa besar risiko yang terpaksa ditanggung oleh pemimpin paling berkuasa dalam struktur ketenteraan Iran.
Di saat konflik mencapai tahap kritikal, Vahidi memikul tanggungjawab besar memimpin pasukan teras ketenteraan Iran.
Pelantikan Vahidi sebagai Komander IRGC bukanlah satu keputusan yang mengejutkan kerana beliau telah dipilih sebagai Timbalan Ketua oleh Pemimpin Agung, Ayatollah Ali Khamenei pada Disember lalu.
Salah satu tugas utamanya pada masa itu adalah untuk mengukuhkan angkatan tentera Iran bagi menghadapi kemungkinan serangan AS dan Israel.

Terlibat 'misi sulit'
Pemilik nama sebenar, Ahmad Shah Cheraghi ini dilahirkan di Shiraz pada 1958.
Beliau mempunyai Ijazah Sarjana dalam bidang kejuruteraan industri dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang sains strategik.
Vahidi kemudiannya berkhidmat sebagai Ketua Universiti Pertahanan Nasional yang mencerminkan gabungan institusi akademik dan ketenteraan yang menjadi ciri utama pembentukan keselamatan Iran.
Pada akhir 1970-an, beliau menyertai IRGC dan dilantik memegang jawatan penting dalam unit risikan serta pernah mengetuai Pasukan Quds pada 1988 sebelum tugas itu diserahkan kepada Soleimani pada 1998.
Kira-kira lebih empat dekad lalu, Vahidi dilaporkan terlibat dalam 'misi sulit' antara wakil Teheran dan orang tengah yang rapat dengan pentadbiran Presiden ke-40 AS, Ronald Reagan yang dikaitkan dengan skandal Iran-Contra (penghantaran senjata secara rahsia ke Iran).
Pakar Iran di Institut Negara Teluk Arab, Ali Alfoneh berpendapat Vahidi amat arif dengan taktik Israel dan AS melalui pengalamannya dalam operasi itu.
Pada akhir 2000-an Interpol pernah mengeluarkan notis merah terhadap Vahidi atas permintaan pihak berkuasa Argentina berhubung penglibatannya dalam insiden pengeboman di sebuah pusat komuniti Yahudi di Buenos Aires.
Teheran bagaimanapun menafikan ia terlibat dengan kejadian tersebut dan menolak notis Interpol yang disifatkan sebagai tuduhan tidak berasas.

Ikrar pertahankan Revolusi Islam
Berbeza dengan dua pendahulunya, Vahidi bukan sekadar tokoh tentera.
Beliau pernah memegang jawatan politik kanan termasuk Menteri Pertahanan di bawah pentadbiran Presiden Mahmoud Ahmadinejad dan dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri ketika pemerintahan Presiden Ebrahim Raisi.
Kesatuan Eropah (EU) juga pernah mengenakan sekatan ke atasnya berhubung pembabitannya dalam program nuklear.
Sebelum ini, beliau secara terbuka berikrar untuk menegakkan prinsip dan matlamat Revolusi Islam di bawah pemerintahan teokratik yang cuba digulingkan AS bersama Israel.
“Mempertahankan Revolusi Islam termasuk perbuatan paling mulia manakala menentang sistem Islam merupakan kejahatan terbesar," tegas Komander IRGC itu.
Vahidi dilihat sebagai 'birokrat yang berkebolehan' dan latar belakangnya serta pengalaman yang luas menjadikannya pemimpin penting semasa perang serta ketua ideal bagi IRGC yang bukan sekadar organisasi tentera biasa.
Masa depan Iran kini bergantung kepada IRGC. Pasukan tersebut ditubuhkan untuk menghadapi detik-detik kritikal seperti ini dan keupayaan mereka untuk bertahan dan memerangi musuh menentukan ketahanan Teheran. - Agensi
Ringkasan AI
- Brigadier Jeneral, Ahmad Vahidi berperanan sebagai perancang strategi utama Kor Pengawal Revolusi Islam Iran dalam menghadapi serangan daripada AS dan Israel
- Vahidi mengambil alih kepimpinan dalam waktu yang mencabar selepas pemimpin sebelumnya, Qassem Soleimani, gugur dalam serangan dron
- Pendahulunya, Mohammad Pakpour dan Hossein Salami, turut gugur dalam pertempuran menunjukkan besarnya risiko kepemimpinan dalam IRGC
- Vahidi mempunyai latar belakang akademik dan ketenteraan yang kukuh termasuk pernah berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri Iran
- Dia berkomitmen untuk mempertahankan Revolusi Islam dan memiliki pengalaman luas dalam menghadapi taktik Israel dan AS serta pernah terlibat dalam 'misi sulit' Iran-Contra
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

