MB Selangor, Jangan abaikan ADUN pembangkang!

Mohd Imran (kiri) menyampaikan bantuan kepada salah seorang penerima di DUN Sungai Panjang.
Mohd Imran (kiri) menyampaikan bantuan kepada salah seorang penerima di DUN Sungai Panjang.
A
A
A

SUNGAI BESAR - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari diingatkan bersikap adil terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang khususnya berhubung penyaluran di setiap DUN menerusi Pakej Rangsangan Selangor Prihatin 2.0.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, segala kepentingan politik sepatutnya diketepikan dalam keadaan negara berdepan pandemik koronavirus (Covid-19) dan sedang dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, semua ADUN tidak kira kerajaan atau bukan kerajaan sepatutnya mendapat peruntukan yang ditambah sebanyak RM30,000 lagi menerusi pakej rangsangan berkenaan.

"Malangnya, selepas saya merujuk di Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam sebagai tempat kawalan peruntukan kewangan, dimaklumkan peruntukan itu tidak disalurkan kepada ADUN pembangkang, sebaliknya disalurkan kepada Pusat Khidmat DUN kerajaan negeri atau penyelaras DUN," katanya menerusi rakaman di Facebook semalam.

Beliau turut menjangkakan kedudukan Amirudin mungkin boleh tergugat sekiranya mengamalkan politik secara tidak adil.

"Saya rasa Amirudin tidak mampu mempertahankan kerusi Menteri Besar jika tidak mempunyai semangat juang dan keberanian," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Ketua Pembangkang DUN Selangor, Rizam Ismail menuntut kerajaan Selangor memberi penjelasan berhubung peruntukan program mesra rakyat sebanyak RM30,000 bagi menangani Covid-19 yang tidak disalurkan kepada sembilan ADUN pembangkang di negeri ini.

Rizam berkata, pihaknya kecewa apabila surat daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor menjelaskan peruntukan itu hanya disalurkan secara terus kepada Pusat Khidmat Masyarakat kecuali sembilan ADUN di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan Selangor kemudiannya menafikan pihaknya mempolitikkan isu peruntukan RM30,000 Pakej Selangor Prihatin untuk setiap DUN di negeri ini.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah menyifatkan Rizam sebagai keliru apabila menuduh kerajaan negeri bermain politik sempit dan menghalang peruntukan RM30,000 yang diumumkan menteri besar kepada sembilan DUN yang diwakili parti-parti pembangkang.